KEMARAAN Leong Jun Hao tersekat di pusingan kedua Jelajah Dunia Terbuka Jepun, selepas memberikan kemenangan pertama kepada jaguh Jepun, Kodai Naraoka.

Kedua-dua pemain yang pernah dua kali bertemu di pentas antarabangsa sebelum ini dengan kemenangan mutlak memihak Jun Hao, namun segala-galanya berubah dalam pertemuan ketiga sebentar tadi.

Jun Hao bagaimanapun berjaya mencuri set pertama dengan kemenangan 23-21, tunduk dua set berikutnya 10-21, 15-21 dalam pertarungan selama 1 jam 25 minit.

Perlawanan itu seharusnya menjadi milik Jun Hao namun kecederaan kaki mengganggu prestasinya pada set penentuan sekali gus memberi kemenangan kali pertama kepada Naraoka.

Begitupun, bilangan pemain negara di suku akhir Terbuka Jepun esok semakin bertambah selepas beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tiada masalah menundukkan Mads Verstergaard-Christine Vusch dari Denmark, 21-13, 21-13.

Toh Ee Wei-Chen Tang Jie mahu menebus kehampaan di Sukan Olimpik Paris lalu.

Begitupun, menanti mereka adalah pilihan kedua kejohanan dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin.

Mengiringi Tang Jie-Ee Wei, beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah yang turut mengatasi pasangan Denmark, Julie Finne Ipsen-Mai Surrow.

Mereka menang 21-11, 22-20 dalam masa 34 minit untuk menempah pertemuan dengan pilihan kedua dari China, Liut Sheng Shu-Tan Ning, esok.