KETIKA Selangor FC bakal berhadapan dengan dua perlawanan terbesar mereka musim ini menentang Jeonbuk Hyundai Motors untuk aksi Liga Juara-Juara AFC 2 dan Johor Darul Ta’zim untuk aksi Liga Super, mereka dikejutkan dengan berita kecederaan yang melanda pemain import.

Pemain antarabangsa Jordan, Noor Al Rawabdeh menerusi hantaran di Instastory peribadinya mengesahkan dia mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) dan sudah pasti akan terlepas baki musim 2024-25 ini.

Rawabdeh mengalami kecederaan ketika aksi Liga Super bertemu PDRM FC pada Sabtu dan perlawanan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang itu mungkin menjadi perlawanan terakhir buatnya dalam jersi Merah Kuning musim ini.

Tangkap layar dari Instastory peribadi Noor Al Rawabdeh

“Hasil pemeriksaan mendapati saya didiagnosis dengan kecederaan ligamen. Kami hanya mengatakan apa yang diredhai Allah, maka segala puji bagi Allah untuk segala-galanya,” jelasnya dalam hantaran itu.

Jika melihat kepada sejarah lampau kecederaan ACL, pemain perlu mengambil masa sekurang-kurangnya enam hingga sembilan bulan untuk pulih dan ini bukanlah berita yang diinginkan oleh Selangor kerana Rawabdeh adalah antara ayam tambatan yang diperlukan.

Perkembangan ini pastinya akan merencatkan persiapan Gergasi Merah bagi menghadapi baki saingan Liga Super 2024-2025 serta kempen ACL2 yang mana Selangor meletakkan sasaran mara ke pusingan 16 terbaik.

Noor Al Rawabdeh diasak ketika aksi menentang PDRM FC

Setakat ini, tiada sebarang pengesahan rasmi dikeluarkan dari kelab namun tinjauan FLASH SUKAN ketika berada di stadium tempoh hari melihatkan kesukaran buat Noor untuk berjalan dengan keadaan lututnya yang berbalut menjelaskan keadaan kecederaannya.

Siapakah yang bakal menjadi pilihan pengendali Selangor, Nidzam Jamil untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Noor namun Selangor mempunyai ramai lagi pemain import yang mampu diturunkan.

Sebagai rekod, Rawabdeh di bawa masuk pada musim 2023 selepas memenangi Piala AFC pada 2021 dan dia juga adalah finalis serta naib juara Piala Asia AFC selepas tewas kepada Qatar di final dan boleh dianggap sebagai enjin penting di bahagian tengah Selangor dan kehilangan ini pastinya akan dirasai.