BINTANG Manchester United, Andre Onana telah menarik diri dari pasukan Cameroon. Penjaga gol itu mengalami kecederaan regangan di pangkal paha semasa pertembungan menentang Mauritius pada Jumaat dan terpaksa digantikan.

Skuad Cameroon mengesahkan Onana terpaksa menarik diri dari skuad itu selepas menjalani ujian dengan pasukan perubatan.

Pasukan itu dalam satu kenyataan berkata: “Persatuan bola sepak Cameroon ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa pemain Andre Onana mengalami kecederaan dan tidak dapat beraksi semasa perlawanan menentang Mauritius pada 17 November di Douala, tidak menjadi sebahagian daripada the Indomitable Lions yang kini berada di Benghazi.”

“Imej perubatan yang dijalankan oleh doktor pilihan negara mendedahkan keadaan di bahagian pubis. Fecafoot (FA Cameroon) mendoakan agar pemain antarabangsa Cameroon itu pulih dengan segera.”

Andre Onana menarik diri daripada skuad Cameroon kerana kecederaan pangkal paha. Foto : Getty

Kecederaan ini merupakan satu tamparan hebat buat Onana yang mula menyesuaikan diri di United.

Disebabkan kecederaan itu, dia mungkin perlu berada di tepi padang selama beberapa minggu yang bermakna Erik ten Hag mungkin perlu memanggil penjaga gol No 2, Altay Bayındır.

Pemain Turki itu masih belum membuat penampilan sulungnya bagi Red Devils sejak tiba dari Fenerbahce pada musim panas.

United menandatangani Bayindir dalam perpindahan pada hari akhir jendela perpindahan dengan nilai £4.3 juta (RM25.1 juta).

Onana juga menyertai perpindahan dalam jendela yang sama dengan nilai £47 juta (RM474.2 juta), di mana dia tiba dengan reputasi besar selepas membantu Inter Milan mencapai final Liga Juara-Juara.

Namun, penjaga gol itu telah menerima kritikan pada minggu-minggu pertamanya di kelab tersebut.