PEMAIN badminton beregu utama negara, Soh Wooi Yik dilaporkan semakin pulih daripada kecederaan retak tulang jari kaki kanan yang dialaminya ketika beraksi di Sukan Olimpik Ogos lalu.

Kecederaan yang dialami dalam perlawanan separuh akhir menentang beregu nombor satu dunia, Liang Wei Keng-Wang Chang dari China, menyebabkan Wooi Yik terpaksa berehat seketika daripada sebarang kejohanan.

“Wooi Yik sebenarnya sudah mengalami kecederaan tersebut semasa separuh akhir di Paris 2024, dan walaupun dia beraksi ketika itu, dia sudah mula merasakan kesakitan.

“Setelah pulang ke Malaysia, kakinya semakin bengkak dan dia masih belum dapat menyertai program latihan yang dirancang,” katanya

Pengarah Kejurulatihan ABM, Rexy Mainaky dan jurulatih beregu kebangsaan, Tan Bin Shen membantu Jin wei di belakang gelanggang.

Menurut ketua jurulatih beregu lelaki negara, Tan Bin Shen, hasil pemeriksaan terkini oleh Institut Sukan Negara (ISN) menunjukkan perkembangan positif terhadap keadaan Wooi Yik.

Walaupun belum pulih sepenuhnya, Wooi Yik telah mula menjalani latihan ringan, namun masih belum dibenarkan untuk latihan berintensiti tinggi.

“Hasil imbasan X-ray terkini menunjukkan keadaannya semakin baik.

“Untuk Terbuka Hong Kong, dia tidak akan beraksi, tetapi kemungkinan besar dia boleh kembali di Terbuka China, itu pun bergantung kepada tahap pemulihannya dalam tempoh seminggu ini,” kata Bin Shen kepada FLASH SUKAN.

Jurulatih itu juga menegaskan bahawa mereka tidak mahu memaksa Wooi Yik kembali ke gelanggang sebelum dia pulih sepenuhnya.

“Saya mahu dia sembuh 100 peratus dahulu. Jika dia belum bersedia, tidak ada gunanya kita memaksanya untuk beraksi kerana lawan dalam kejohanan antarabangsa sangat kuat.”

Sekiranya proses pemulihan berjalan lancar, para peminat badminton negara mungkin dapat menyaksikan gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik kembali beraksi di Terbuka China selepas Olimpik Paris 2024.