KEDAH Darul Aman (KDA) FC menerima kunjungan pasukan Liga A1, Bukit Tambun FC, dalam perlawanan latihan tertutup yang diadakan sebagai persiapan menjelang perlawanan penting Liga Super ke-13 menentang Terengganu FC (TFC) pada 19 Oktober 2024.
Perlawanan latihan ini diadakan untuk meningkatkan tahap kecergasan dan keserasian antara pemain Sang Kenari.
Para penyokong juga berharap sesi ini akan membantu pemain memantapkan lagi strategi dan permainan mereka untuk memastikan prestasi terbaik dalam perlawanan Liga Super yang akan datang.
Aksi persediaan seperti ini penting bagi memastikan setiap pemain berada pada tahap fizikal dan mental yang optimum sebelum menentang Terengganu, sebuah pasukan yang terkenal dengan keupayaan teknikal serta taktikal yang tinggi.
Perlawanan menentang Terengganu dijangka berlangsung dengan sengit, dan perlawanan latihan ini dilihat sebagai peluang terbaik untuk mengasah taktikal pasukan serta mengukuhkan keserasian di kalangan pemain Nafuzi Zain.
Terdahulu, tersebar di media sosial mengenai khabar pemain KDA FC yang dikatakan kembali memboikot sesi latihan menjelang perlawanan menentang TFC.
Khabar tersebut berpunca daripada perkongsian seorang wartawan sukan tempatan yang menjangka pemain KDA FC kembali bertindak memboikot latihan setelah pihak pengurusan gagal mengambil langkah proaktif untuk menyelesaikan isu tunggakan gaji.
Sebelum ini, disebabkan ketiadaan pemain utama, KDA FC terpaksa menggunakan pemain skuad Bawah 23 Tahun (KDA FC B) dalam perlawanan menentang Kuala Lumpur (KL) City di Cheras, yang menyaksikan mereka tewas 0-5.