PENGENDALI Kedah Darul Aman FC, Nafuzi Zain menyifatkan keputusan semalam sebagai keputusan yang adil meskipun pasukannya tewas kepada Selangor FC.

Pasukan Sang Kenari mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol namun penyudah yang tumpul menyebabkan mereka gagal untuk menemui jaringan.

“Bagi saya dengan keputusan malam ini (semalam), rezeki memihak kepada pasukan Selangor kerana mereka mengambil peluang mereka dan menjaringkan gol.

Sony Norde melakukan beberapa percubaan terhadap pintu gol Selangor FC. (Gambar: Akma / Flash Sukan)

“Kita mempunyai peluang yang banyak sepanjang perlawanan tetapi kita tidak convert menjadi gol.

“Kita akan berlatih semula untuk bahagian itu sebagai persiapan untuk perlawanan seterusnya,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

“Dari segi persembahan keseluruhan, saya rasa begitu berbangga dengan usaha yang ditunjukkan oleh semua pemain.

Banyak peluang terhidang Syafiq gagal diterjemah dalam bentuk jaringan.

Beliau turut mengatakan bahawa pemain import baharu Kedah, Ebenezer Assifuah masih lagi belum bersedia untuk diturunkan.

“Saya rasa tempo permainan dan intensiti dalam perlawanan tadi mungkin terlalu sukar untuk dia, beliau baru sahaja bersama kami untuk seminggu jadi saya perlukan pemain yang betul-betul cergas dan bersedia untuk lawan Selangor.

 

“Kemungkinan besar pada perlawanan seterusnya kami akan gunakan dia untuk memantapkan lagi bahagian serangan pasukan,” tambahnya lagi.

Kedah Darul Aman akan bertemu dengan pasukan Perak FC untuk perlawanan derby utara di Alor Setar pada 24 Mei ini.