KEDAH Darul Aman FC cuba melupakan episod duka dibelasah Sabah FC 4-0 pada perlawanan terdahulu dan kini meletakkan sasaran untuk membenam Melaka United dalam aksi di Stadium Darul Aman malam ini.

Setelah melakukan permulaan cemerlang pada tiga perlawanan pertama dengan berjaya mengutip sembilan mata dan dilihat mampu memberikan tekanan kepada JDT, tetapi perkara sebaliknya berlaku pada tiga perlawanan seterusnya.

Bermula dengan kekalahan kepada Selangor FC 4-1, Kedah dilihat bergelut walaupun berjaya mencatat kemenangan 2-1 ketika menentang Penang FC sebelum tewas 0-4 pula kepada Sabah FC di Kota Kinabalu.

Dibolosi sembilan gol dalam tiga perlawanan berturut-turut di tempat lawan mendatangkan resah kepada para penyokong KDA yang nyata bimbang dengan prestasi semasa pasukan.

Aksi di laman sendiri ini pastinya akan digunakan Aidil Sharin bagi meraih kemenangan sebagai hadiah Hari Raya kepada para penyokong setia yang dijangka membanjiri Stadium Darul Aman.

Sementara itu Melaka United dijangka akan turun dengan semangat baharu selepas berjaya mencatat kemenangan sulung dalam Liga Super musim ini selepas menewaskan Sri Pahang di Kuantan.

Skuad kendalian Asri Ninggal yang menggantikan Risto Vidakovic ini pastinya akan berhadapan saingan hebat Kedah dengan kedua-dua pasukan pastinya mahukan kemenangan selepas berehat panjang menyambut Aidilfitri.

Kemenangan akan meletakkan Kedah di tangga teratas memintas JDT yang kekurangan tiga perlawanan manakala Melaka United akan menjarakkan diri dari zon relegasi untuk berada di pertengahan liga.