KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) mendedahkan sebanyak lapan negeri bersetuju untuk menerima Geran Naik Taraf Saliran dan Penukaran Rumput yang ditawarkan bagi memastikan kualiti padang di semua stadium utama negeri di Malaysia berada dalam keadaan yang terbaik.

Ini bagi mengelakkan insiden penundaan perlawanan berlaku seperti yang terjadi di Stadium Perak, Ipoh sebanyak dua kali akibat keadaan padang yang kurang sesuai digunakan bagi perlawanan bola sepak dan boleh mendatangkan bahaya kepada pemain.

Perkara ini didedahkan sendiri oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh ketika sidang media khas di Menara KBS, Putrajaya pada Jumaat.

Hannah Yeoh menjelaskan lapan negeri sudah menerima Geran Naik Taraf Saliran dan Penukaran Rumput

Perak menerusi agensi Majlis Bandaraya Ipoh telah menerima dana sebanyak RM500,000 pada 24 Mei 2024 dan difahamkan akan menutup Stadium Perak selepas ini bagi kerja naik taraf selepas selesai proses lantikan kontraktor.

Daripada lapan negeri itu, tiga negeri – Pahang, Kelantan dan Negeri Sembilan sudahpun memulakan menaiktaraf saliran selepas menerima geran pada Mac dan April 2024 selain bakal menukar rumput kepada jenis Bermuda.

Dua negeri, Kedah dan Perlis hanya mengambil Geran Naik Taraf Saliran sahaja dan masih mahu mengekalkan rumput jenis ‘cow grass’ yang digunakan setakat ini dengan Stadium Darul Aman dijangka bakal memulakan tugas naik taraf pada Mac 2025.

Status perlaksanaan projek menaik taraf padang bola sepak di stadium utama negeri

Hannah juga menjelaskan bahawa dua negeri, Pulau Pinang dan Sabah tidak mengambil geran ini kerana mendapat maklum balas yang pihak berkenaan merasakan stadium mereka berada dalam keadaan yang baik.

Pihak KBS menyarankan penukaran kepada rumput jenis Zeon Zoysia atau Bermuda atau setara dengannya bagi memastikan ianya lebih berdaya tahan dan sesuai dengan keadaan cuaca di Malaysia.

Selain itu, KBS meletakkan sasaran sehingga Jun 2025 untuk memastikan semua kerja naik taraf selesai menjelang permulaan musim baharu Liga Malaysia 2025-26.