FOTO : KDA FC
JURULATIH Kedah Darul Aman FC, Nafuzi Zain berkongsi pandangannya mengenai perlawanan yang berakhir dengan kekalahan pasukannya kepada Perak FC pada Jumaat.
Dia merasakan bahawa gol awal yang diperoleh pihak lawan telah mengubah keseluruhan dinamik perlawanan dan menyebabkan pemainnya kehilangan ketenangan dalam usaha untuk menjaringkan gol penyamaan.
“Gol pertama yang kami lepaskan mengubah perlawanan dan menyebabkan kami menjadi terburu-buru untuk mencari gol penyamaan. Namun, saya gembira dengan semangat luar biasa yang ditunjukkan oleh pemain dari awal hingga akhir perlawanan.
“Walaupun keputusan tidak memihak kepada kami, saya bangga dengan usaha dan komitmen yang ditunjukkan oleh semua pemain. Mereka bekerja keras mencipta peluang dan menunjukkan semangat juang yang tinggi. Malangnya, nasib tidak menyebelahi kami kali ini,” kata Nafuzi selepas perlawanan.
Beliau juga menekankan bahawa pasukan perlu terus memperbaiki diri dan menganalisis kelemahan yang ada untuk bersedia menghadapi perlawanan seterusnya. Menurutnya, persefahaman dan kombinasi antara pemain semakin baik dari satu perlawanan ke satu perlawanan.
“Kita perlu terus bekerja keras dan memperbaiki kelemahan yang ada. Saya harap pemain dapat meneruskan rentak dan semangat juang yang mereka tunjukkan. Saya percaya kita akan bermula dengan keputusan yang baik dalam Piala FA akan datang,” ujarnya lagi.
Tanpa berselindung, dia juga mengakui bahawa Perak bermain dengan baik, terutama dari segi pertahanan yang disiplin dan kualiti serangan balas permainan mereka.
“Perak menunjukkan kualiti yang baik, terutamanya dalam bertahan. Kami memberi mereka peluang untuk menjaringkan gol pertama, yang sepatutnya tidak berlaku begitu mudah,” katanya.
Nafuzi juga memuji impak positif yang ditunjukkan oleh Ebenezer Assifuah yang baru kembali bersama pasukan dalam masa yang singkat dan berpuas hati serta percaya bahawa dia akan terus memberikan sumbangan besar apabila kembali cergas sepenuhnya.
“Kita tahu pemain ini berkualiti dan saya yakin dia akan kembali dengan prestasi yang lebih baik,” katanya.
Walaupun kecewa dengan kekalahan, pemain dan pengurusan kelab bertekad untuk terus berjuang dan memperbaiki kelemahan bagi menghadapi perlawanan-perlawanan seterusnya. Nafuzi juga mengucapkan terima kasih kepada penyokong yang terus memberi sokongan padu kepada pasukan.
“Saya terharu dengan sokongan yang diberikan oleh penyokong. Walaupun kami kecewa dengan keputusan ini, kami akan terus berusaha untuk membalas pengorbanan dan sokongan mereka. Kami akan terus bekerja keras untuk mencapai tahap yang lebih tinggi,” kata Nafuzi.