KEDAH Darul Aman (KDA) FC beraksi tempang kurang seorang pemain namun masih mampu melakar kemenangan tipis mengatasi Penang FC 1-0 dalam aksi derbi utara di Alor Setar, pada Rabu
Skuad Sang Kenari kendalian Nafuzi Zain melancarkan serangan bertali arus ke kubu pelawat sebaik sahaja pengadil, Hasrol Amir meniupkan wisel perlawanan.
Gawang Kedah mula diuji pada minit ke-12 melalui percubaan Adib Raop namun ketangkasan penjaga gol Kalamullah Al-Hafiz menyelamatkan keadaan genting.
Penang juga melancarkan serangan namun mudah dipatahkan oleh barisan pertahanan KDA FC yang diketuai Bojan Ciger.
Tuan rumah hampir berada di hadapan menerusi gol Al Hafiz Harun pada minit ke-15 namun tolakannya ke dalam gawang lawan hasil hantaran lintang daripada rakan sepasukan, Manuel Hidalgo dibatalkan kerana didakwa berada posisi offside.
LIGA SUPER 2023
FT : KDA FC 1-0 Penang FC
⚽ Willian Lira 64'#LigaSuper2023#PulunKedahPulun#HariaPenangHaria pic.twitter.com/nrF3UFhWnV
— Flash Sukan (@FlashSukan) April 5, 2023
Peluang terbaik KDA FC memecahkan kebuntuan sebaik bersambung babak kedua hampir berhasil apabila larian Lee Tuck dari kawasan tengah menghantar bola kepada Manuel Ott tetapi sedikit tergelincir akibat permukaan padang yang licin.
Pemain gantian, Wan Amirul Afiq diperintah keluar padang kerana menerima kad kuning kedua gara-gara menguis bola dengan tangan dan kelebihan ini cuba digunakan sebaik mungkin Penang.
Stadium Darul Aman yang dihadiri kira-kira 3,230 akhirnya gamat apabila import dari Brazil, Willian Lira menyumbat gol m-64 yang berpunca hasil sepakan penjuru. Ini adalah jaringan ketiganya di Liga Super dan pertama di halaman sendiri.
Keputusan tersebut kekal sehingga tiupan wisel daripada Hasrol.
Untuk rekod, kedua-dua pasukan pernah bertemu dalam aksi pusingan pertama Piala FA bulan lepas menyaksikan Penang menyingkirkan KDA FC menerusi sepakan penalti 4-3 selepas terikat 2-2 pada masa sebenar.
Sementara itu, Sri Pahang FC meraih tiga mata menumpaskan PDRM 2-1 dalam aksi di Cheras. Gol Pahang dijaringkan oleh Baqiuddin Shamsudin 18′ dan Kpah Sherman 22′ manakala tuan rumah memperoleh jaringan balas melalui James Okwuosa 77′.