KEDAH Darul Aman (KDA) FC ada misi khas menjelang pertemuan terakhir Liga Super sebelum bulan Ramadan pada Jumaat ini di Alor Setar.
Selepas tewas dua kali berturut-turut, Sang Kenari mula terbang tinggi ketika berjaya menjinakkan Kelantan United di Stadium Sultan Muhammad IV tempoh hari.
Kini, matlamat anak buah Nafuzi Zain jelas. Misi mencari kemenangan agar terus berada dalam kelompok elit pasukan atasan musim ini.
Penyokong Hijau Kuning mula menanamkan impian pasukan Kedah dapat bersama-sama mencabar kelab besar seperti Johor Darul Ta’zim, Sabah dan Selangor dalam buruan gelaran. Setakat ini, kelab disebutkan itu masih belum dihadapi KDA FC.
Namun, fokus terkini adalah mengalahkan Kuching City FC yang khabarnya mula menemui keyakinan walaupun dirundung malang kalah hatrik sejak menang aksi pertama menumpaskan Kelantan FC.
Kedah dijangka menyenaraikan Manuel Hidalgo, serta dua pemain tempatan, Kalamullah Al Hafiz dan Fayadh Zulkifli dalam kesebelasan utama yang dipanggil oleh ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon ke kem latihan pusat skuad Harimau Malaya di Johor Bahru.
Apapun, KDA FC tidak boleh pandang mudah kepada kebangkitan ganas Kuching City yang berkemungkinan melakar kejutan di Darul Aman.
Cuma, skuad kedah harus memperbaiki kelemahan terutama sektor serangan dan pertahanan yang dilihat agak perlahan selain gawang gol telah dibocori sebanyak empat kali.
Kem Kuching yang giat menjalani latihan tiga hari di Universiti Utara Malaysia, Sintok diramal menggandingkan Yuki Tanigawa bersama Aylton Alemao di pertahanan tengah berbanding Celio Santos bagi membentuk sistem kubu yang mantap.
Malah, peranan ‘orang lama’ Joseph Kalang Tie boleh dicuba Irfan Bakti bermain sebagai pemula kerana masih miliki sentuhan berbisa mengasak dan memporak-perandakan benteng lawan.