DUA pasukan sensasi, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Kuala Lumpur (KL) City masing-masing masih terjerat dalam isu pembayaran tunggakan gaji pemain bagi musim 2023.

Pihak First Instance Body (FIB) bagaimanapun telah memberikan tempoh masa terakhir kepada kedua-dua kelab tersebut untuk menyelesaikan pembayaran tunggakan gaji pemain dan pegawai mereka secara berperingkat.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam mengeluarkan kenyataan di laman rasmi MFL, pihaknya telah mengarahkan kedua-dua kelab itu membuat pembayaran pertama sebanyak 50 peratus pada atau sebelum 15 Mac 2024 dan penyelesaian penuh pada atau sebelum 29 Mac 2024.

Stuart Ramalingam menyatakan perkara tersebut menerusi kenyataan yang dimuat naik oleh pihak MFL.

“Jika mereka gagal untuk membuat pembayaran pada tarikh yang ditetapkan, ia bakal mengakibatkan kedua-dua kelab Liga Super itu dikenakan sekatan perpindahan pemain berserta denda atau berdepan hukuman penarikan Lesen Kebangsaan oleh FIB,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik ke laman rasmi MFL.

Sebelum ini, Kedah telah mengumumkan bahawa pihaknya telah mendapat kelulusan pembiayaan dana daripada institusi tertentu bagi tujuan penyelesaian tunggakan tersebut.

Namun, dana tersebut hanya akan ditunaikan seawal bulan April dan mereka perlu mencari inisiatif lain dengan lebih segera.

Manakala KL City yang mempunyai tunggakan gaji pemain sebanyak RM 2 juta bagi tempoh dua bulan difahamkan sedang berusaha menemui jalan keluar, tambahan Stuart menganggap isu mereka tidak begitu serius.