PASUKAN Kedah Darul Aman FC berjaya mencatat kemenangan kedua berturut-turut dalam liga selepas mudah menewaskan Kelantan FC 5-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Star.

Setelah lama tidak beraksi di hadapan penyokong sendiri, Sang Kenari selesa bermain bola sepak dengan lima pemain mencatatkan nama sebagai penyerang untuk memastikan Kedah mendapat tiga mata penuh dan kembali bersaing di kelompok atasan liga.

Malang buat Kelantan apabila menanggung kekalahan keenam berturut-turut dalam liga dan melepaskan 25 gol dan hanya dapat menjaringkan lima gol sepanjang tempoh enam perlawanan ini.

 

Anak-anak buah Frank Bernhardt dilihat tidak mampu menyaingi barisan pemain Nafuzi Zain yang bermain baik dan menyempurnakan peluang yang hadir dengan jentera tengah dilihat banyak membantu barisan serangan mencipta peluang jaringan.

Manuel Ott, Lee Tuck, Manuel Hidalgo dan penalti Willian Lira serta gol minit akhir Jonathan Balotelli menambah luka Kelantan FC apabila jaringan mereka pada setiap babak mematikan semangat juang yang masih ada pada skuad The Red Warriors yang berdepan masalah di luar padang.

Beberapa pertukaran dilakukan Bernhardt dan Kelantan mula dapat bergerak mengatur serangan tetapi sering dihampakan dengan perangkap ofsaid yang bijak dibina barisan pertahanan Kedah untuk menafikan peluang Kelantan menjaringkan gol saguhati.

Kedudukan 5-0 kekal hingga tamat perlawanan dan ia dilihat memberikan keyakinan semula buat para pemain dan Nafuzi Zain yang bakal bertemu Selangor FC dalam perlawanan akan datang.

Kemenangan ini melonjakkan Kedah ke tangga keempat dengan 22 mata, menyamai mata Selangor FC dan Sri Pahang FC selepas 11 perlawanan manakala Kelantan kekal di tangga kedua tercorot dengan hanya empat mata.