SATU kehilangan yang cukup besar buat penyokong bola sepak Kedah Darul Aman (KDA) FC apabila seorang lagi permata import mereka, Habib Haroon sah tidak lagi bersama dengan skuad Sang Kenari.

Salah seorang penyokong tegar KDA FC yang dikenali sebagai Puaka Jerai menyifatkan pemergian Habib sebagai satu ‘masalah’ baharu yang akan menimpa pasukan, jika tiada pengganti karakter Habib Haroon selepas ini.

Beliau yang memegang nama sebenar Zulkifli Hashim, Pengerusi Kelab Penyokong Puaka Jerai (PJFC) turut kesal akan pihak pengurusan KDA FC yang seakan-akan tidak mahu belajar daripada kesilapan, lebih-lebih lagi setelah hilang satu persatu permata Kedah.

Puaka Jerai (kanan) bersama Habib Haroon (kiri).

“Sebelum ini, Lee Tuck. Kini, Habib Haroon, yang mana semua penyokong tahu bagaimana Habib ini beraksi di atas padang. Dia bagi 100 peratus dan berusaha begitu keras dalam 90 minit permainan.

“Memang sangat terasa dengan ketiadaan Habib. Kita perlukan pemain import tengah jadi kalau tiada pengganti yang mampu memberikan usaha lebih baik daripada Habib, Kedah akan menjadi lebih sukar.

“Bila tiada seorang pemain yang kita harapkan seperti Habib, memang susah. Kita perlukan import untuk bantu memperkuatkan pasukan. Sebab itu banyak saya tekankan mengenai kebajikan pemain supaya sentiasa dijaga,” ujar Zulkifli ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Habib Haroon ketika beraksi bersama Kedah Darul Aman.

Menurutnya, penyokong-penyokong Kedah juga ramai yang mula tawar hati akibat daripada sikap dan kecuaian pengurusan itu sendiri.

Segala yang diperlukan, penyokong sudah beri. Jadi, Zulkifli tegaskan bahawa pihak atasan pula yang perlu menjalankan tanggungjawab sepenuhnya, mengembalikan suasana dan aura bola sepak Kedah kembali seperti dahulu.

“Di Kedah ini, mentaliti penyokong sekarang mahu satu perkara sahaja iaitu bagi menang, bagi pasukan itu ‘solid’,” tambah penyokong unik yang popular dengan kostum hijau dan kuning berserta imej bunga matahari.