PENGENDALI Kedah Darul Aman FC, Nafuzi Zain gembira dengan disiplin yang ditunjukkan anak-anak buahnya ketika membenam Negeri Sembilan FC 2-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Jumaat.
Dia turut berterima kasih kepada para pemainnya yang kembali meletakkan Kedah di landasan kemenangan selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut sebelum ini.
“Alhamdulillah terima kasih buat pemain. Kita tahu kita berada dalam situasi yang sukar dan perlu menang. Ianya bukan mudah kerana cabaran yang besar diberikan oleh Negeri Sembilan. Kita berdisiplin dan kemenangan ini buatkan kami rasa lega dan boleh berehat selama tiga minggu dalam keadaan yang lebih tenang.
⚔ FULL TIME ⚔
Well Done!
FT | NEGERI SEMBILAN FC 1 – 2 KDA FC
⚽ 30' 72' Willian Lira (KDA FC)
⚽ 35' Zainal Abidin (NSE)#PulunKedahPulun #SangKenari #BiarJasaJadiKenangan #2023season #membinaimpianmengupayalegasi #LigaSuper2023 #LS10 #NSEKDA pic.twitter.com/cyengJL0Vo— KEDAH DARUL AMAN FC (@kda_fc) April 28, 2023
“Bukan mudah main lawan Negeri Sembilan. Kami lebih defensif pada perlawanan ini dan apabila dapat bola kami lebih tenang dan tunggu peluang yang baik untuk jaringkan gol. Apa yang ditunjukkan pemain sangat berdisiplin dan berjaya melakukan apa yang dirancang,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Nafuzi turut menjelaskan dia sentiasa percaya dengan kemampuan kesemua pemainnya terutama Willian Lira yang berjaya menjaringkan dua gol untuk memberikan tiga mata penuh buat Sang Kenari.
“Saya sentiasa percaya dengan kemampuan pemain kerana saya bersama mereka hampir setiap hari dan Lira bermain baik pada perlawanan ini dan berjaya kurangkan tekanan yang diterima dirinya terutama dari para penyokong,” tambahnya.
Kemenangan ini meletakkan Kedah di tempat kelima liga dan kembali dalam persaingan dengan mengekori rapat Selangor, Sri Pahang dan Sabah dan kini akan menggunakan cuti rehat ini untuk kembali membentuk pasukan yang lebih baik menjelang aksi bertemu Kelantan di Alor Setar.