JARINGAN penalti Ifedayo Olusegun memastikan Kedah Darul Aman FC terus menghambat Selangor FC untuk kedudukan kedua selepas menewaskan Kuala Lumpur City FC dalam aksi Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Perebutan tempat kedua liga yang menjanjikan slot ke Piala AFC musim hadapan menjadi semakin hangat dan anak-anak buah Nafuzi Zain bermula garang sejak awal perlawanan untuk mencari gol pembukaan.

Namun begitu skuad KL City berjaya mengekang asakan berbahaya Kedah dengan sesekali melancarkan serangan balas tetapi dihampakan ketumpulan penyudah dari barisan serangan.

Kesilapan Nazirul Naim yang menjatuhkan Fazrul Daniel pada penghujung babak pertama memberikan Kedah sepakan penalti dan Ifedayo mudah menewaskan Azri Ghani yang sebelum itu cemerlang di gawang KL City.

Tersentak dengan gol pada saat-saat akhir itu, pengendali KL City, Nenad Bacina melakukan beberapa pertukaran pada babak kedua dengan memasukkan Paulo Josue dan Romel Morales untuk mencari gol penyamaan.

Kedah mempunyai beberapa peluang untuk menggandakan kelebihan tetapi tiang gol menjadi penghalang buat Ifedayo dan rembatan Akmal Zahir selepas itu tersasar sekaligus menyelamatkan KL City dari terus dibolosi.

Bojan Ciger beraksi cemerlang mengepalai benteng Kedah yang berjaya menyekat kemaraan barisan serangan KL City untuk memastikan kedudukan 1-0 kekal hingga tamat perlawanan dan Sang Kenari berjaya membawa pulang tiga mata penuh.

Kemenangan ini menyaksikan Kedah kini mengumpul 47 mata ketinggalan lima mata di belakang Selangor tetapi mempunyai satu perlawanan dalam tangan sekaligus semakin memberikan tekanan untuk merebut tiket ke Asia.

Meskipun tewas, Kuala Lumpur City kekal di tangga ketujuh liga dengan 31 mata selepas 22 perlawanan dan kini boleh menumpukan perhatian kepada aksi separuh akhir Piala Malaysia.