HASRAT Harimau Selatan untuk bergelar juara Liga Super buat kali kesepuluh berturut-turut tertunda apabila diikat Sang Kenari 3-3 dalam aksi yang cukup mendebarkan di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Gol pada minit akhir oleh pemain gantian Amirbek Juraboev memadam kebangkitan Harimau Selatan dan memberikan satu mata penting buat Kedah serta memadam rekod bersih 20 kemenangan berturut-turut JDT dalam liga.

Kedua-dua pasukan beraksi baik sepanjang babak pertama dengan Kedah berjaya di hadapan pada minit ke-35 menerusi Ifedayo sekaligus menjadi pasukan pertama yang berjaya mendahului JDT pada babak pertama musim ini.

Bersambung babak kedua, JDT melakukan pertukaran dengan memasukkan Endrick Dos Santos dan Shane Lowry menggantikan Takahiro Kunimoto dan Feroz Baharudin bagi memantapkan lagi barisan tengah dan pertahanan.

Tidak sempat JDT mengatur gerak, Manuel Ott memberikan kejutan apabila menyempurnakan hantaran Manuel Hidalgo untuk meletakkan Kedah 2-0 di hadapan pada minit ke-49 yang dilihat mungkin dapat memadam rekod tanpa kalah JDT dan menggembirakan lebih 11 ribu penyokong yang hadir.

Namun tidak sampai tiga minit, JDT berjaya merapatkan kedudukan menerusi Corbin Ong sebelum Heberty Fernandes menyamakan jaringan berselang tiga minit kemudiannya dan segala-segalanya tampak kembali berpihak kepada Harimau Selatan.

Arif Aiman Hanapi membuktikan dirinya sebagai pemain paling bernilai apabila gerakan solonya menyumbang gol ketiga JDT pada minit ke-74 yang dilihat sudah cukup untuk memberikan kejuaraan kesepuluh liga.

Namun sepakan sudut pada minit-minit akhir perlawanan disambung Amirbek dan bola menewaskan Ahmad Syihan Hazmi untuk gol penyamaan Kedah yang terus memadam harapan JDT bergelar juara lebih awal.