PENGENDALI Negeri Sembilan FC (NSFC), Azzmi Aziz mengakui kegagalan pemainnya menjaringkan gol menjadi punca utama mereka tewas kepada Sabah FC dalam aksi Liga Super 2024-25 di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Khamis.
Azzmi sedikit kecewa dengan kerana berjaya mencipta beberapa peluang keemasan tidak dapat diterjemahkan kepada gol yang menjadi masalah utama buat pasukan NSFC musim ini.
Bagaimanapun dia tetap memuji semangat juang yang ditunjukkan para pemain meskipun terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas Norfiqrie Talib dilayangkan kad merah pada babak kedua.
“Ini adalah asas dalam bola sepak di mana kita perlu jaringkan gol. Kami mencipta banyak peluang dan gagal menjaringkan gol dan saya anggap ini adalah punca kepada kekalahan kami.
“Untuk bermain dengan pasukan yang bagus seperti Sabah, semestinya bermain dengan 10 pemain menambah kesukaran tetapi kredit kepada pemain kerana masih menyerang dan mencipta peluang namun bukan rezeki kami pada malam ini,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Dua gol daripada Daniel Ting serta Jafri Firdaus Chew pada setiap babak cukup untuk memberikan kekalahan keempat buat Skuad Jang dalam liga selepas berakhir lima perlawanan.
Negeri Sembilan kini perlu bangkit apabila bakal berhadapan Terengganu FC sekali lagi di gelanggang lawan pada 30 Julai membawa misi keluar dari tangga terbawah liga.