PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee menjelaskan kegagalan pemainnya menyempurnakan peluang dan hilang fokus adalah punca utama pasukannya mengalami kekalahan kali kedua berturut-turut dalam Liga Super.

Sabah tewas kepada Kuala Lumpur City FC 2-0 hasil jaringan T. Saravanan dan Sean Gan Gianneli dalam perlawanan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras sekali gus turun ke tangga kelima liga selepas berakhir tujuh perlawanan.

Kim Swee juga mahu pemainnya belajar dengan kesilapan dan tidak mahu menjadikan bulan Ramadan dan berkelana jauh dari Sabah sebagai alasan untuk mereka tidak mempamerkan aksi yang baik.

“Kita tidak sempurnakan peluang. Jika kita tidak menjaringkan gol kita tidak akan dapat bawa pulang mata. Kuala Lumpur yang mahukan kemenangan pertama menggunakan serangan balas dan mereka gunakan dengan baik.

“Kita hilang fokus selepas gol pertama menerusi kesilapan yang sukar diterima ketika kita cuba mencari gol kita dihukum lawan dan kesilapan ini menyebabkan kita tewas. Kita cuba dapatkan gol tetapi penyudah yang tumpul membuatkan kita kehilangan mata.

“Kita mengawal permainan dengan baik walaupun ketinggalan tetapi penyudah yang kurang baik tetapi KL City bertahan cukup baik dalam perlawanan ini.

“Apabila bermain di gelanggang lawan tiga perlawanan berturut-turut ia memang sukar sikit kerana kita harus berkelana agak lama di Kuala Lumpur untuk dapatkan rehat yang cukup. Tetapi ia bukanlah alasan dan kita perlu berfikir semula kerana selepas ini kita akan main di gelanggang lawan lagi selepas ini,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Kim Swee turut mengakui bahawa ketiadaan ketua pasukan, Park Tae-su sedikit menyukarkan bahagian tengah dan meskipun mengawal perlawanan, Sabah masih tewas tetapi dia menerima kenyataan inilah bola sepak.

“Tanpa Park ianya menyukarkan sedikit di bahagian tengah tetapi keseluruhan kita masih mengawal permainan dan tidak ada gol yang diharapkan menyebabkan kita tewas.

“Dalam bola sepak kadangkala kita kawal permainan dan pihak lawan mengambil kesempatan. Saya percaya KL City berlatih apa yang mereka mahu dan kita perlu belajar untuk tidak mensesiakan peluang jika mahukan tiga mata selepas ini,” tambahnya.

Sabah FC akan kekal di Semenanjung buat seketika dan akan menghadapi perlawanan ketiga di tempat lawan menentang Negeri Sembilan pada Isnin di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi dalam misi mencari semula kemenangan.