PENGENDALI Kedah Darul Aman FC, Aidil Sharin Sahak menganggap perlawanan menentang Kuala Lumpur City FC malam semalam adalah dua perlawanan berbeza dalam dua babak permainan.
Dia juga menyatakan Kedah bermain baik pada 45 minit pertama namun kegagalan menyempurnakan sepakan penalti menyebabkan keyakinan para pemainnya menurun dan akhirnya dihukum oleh KL City.
Jurulatih kelahiran Singapura ini juga bergelut dengan kecergasan pemain apabila hampir 10 pemainnya diserang gejala selsema yang menjejaskan persiapan pasukan.
“Ianya adalah permainan berbeza pada kedua-dua babak. Kami bermain baik pada 45 minit pertama dan keyakinan pemain dilihat meningkat. Berbeza pada separuh masa kedua apabila kami gagal menyempurnakan penalti keadaan berubah dan memberi ruang kepada KL City kembali dalam perlawanan.
“Kami gagal mengambil peluang yang terhidang dan ini adalah masalah apabila anda berhadapan dengan pasukan seperti Kuala Lumpur. Ia membuatkan keyakinan pemain menurun malah ada beberapa pemain yang gagal mempamerkan persembahan sebenar mereka.
“Tanpa 10 pemain yang kurang sihat agak sukar untuk kami membariskan kesebelasan terbaik dan untuk pertemuan akan datang saya perlu menilai kecergasan mereka dahulu sebelum membuat keputusan siapa yang akan diturunkan.
Menjawab soalan mengenai prestasi Kedah yang dilihat agak terumbang ambing ketika ini, Aidil menegaskan bahawa tahun ini adalah tahun perubahan apabila 80 peratus daripada pemain yang ada kini adalah pemain baharu dan pemain muda yang perlu diberikan lebih masa untuk mereka beraksi lebih matang tetapi berbangga kerana Kedah tetap berjaya layak ke separuh akhir Piala AFC dengan barisan pemain yang sedia ada.
Kedah kini ditangga kelima Liga Super dengan 17 mata dan akan berhadapan Melaka United di Alor Setar hujung minggu ini dan Aidil pastinya mahukan keputusan positif apabila beraksi di laman sendiri.