PENGENDALI PDRM FC, P. Maniam mengakui kegagalan para pemainnya menyudahkan peluang menjadi punca utama mereka tewas 0-2 kepada Kuching City FC dalam aksi Liga Super 2024-25 di Stadium Negeri, Kuching pada Jumaat.

Meskipun menguasai sebahagian besar permainan, Sang Saka Biru gagal menemui jaring lawan termasuk kegagalan Ifedayo Olusegun menyempurnakan sepakan penalti pada babak pertama.

Dibolosi seawal minit kedua juga menyebabkan corak permainan PDRM FC terganggu namun Maniam mahu para pemainnya kembali bangkit dengan lebih baik selepas ini.

Maniam puas hati aksi pemain tetapi kecewa dengan keputusan 

“Kami bermula dengan ritma yang kurang baik kerana melepaskan gol awal yang mana ianya tidak sepatutnya berlaku tetapi selepas itu kami bermain baik namun gagal menjaringkan gol termasuk terlepas sepakan penalti.

“Itu sahaja masalah yang saya lihat tetapi secara keseluruhannya, saya gembira dengan persembahan pemain tetapi bukan dengan keputusan perlawanan dan perlu perbaiki banyak perkara untuk aksi selepas ini,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Gol awal oleh Danial Amier Norhisham dan penalti lewat permainan oleh Jordan Mintah cukup untuk memberikan kekalahan ketiga dan kedua berturut-turut PDRM FC dan bakal berdepan cabaran Johor Darul Ta’zim pada penghujung Julai.

Ifedayo tidak berjaya sudahkan penalti pada babak pertama (kredit foto: PDRM FC)

Kekalahan itu meletakkan PDRM FC kini di tangga kesembilan liga dengan empat mata selepas lima perlawanan dan perlu menunggu keputusan antara Perak dan Pulau Pinang yang hanya beraksi pada Sabtu.