KEHADIRAN 20,769 penyokong ke stadium pada aksi pembukaan Liga Super minggu lalu bukan hanya untuk memberi sokongan kepada pasukan sebaliknya secara tidak langsung memberi mesej bahawa Liga Malaysia  (Liga-M) masih selamat.

Di sebalik kebimbangan bukan hanya penyokong malah orang awam susulan kes serangan pemain Liga Malaysia secara berturut-turut sebelum ini, ia jelas tidak melunturkan semangat penyokong untuk hadir ke lima venue untuk menyaksikan perlawanan Liga Super.

Jumlah kehadiran penyokong ke stadium itu mungkin akan jauh lebih tinggi jika Perlawanan Sumbangsih yang dijadual berlangsung pada 10 Mei 2024 di Stadium Sultan Ibrahim dapat diteruskan tapi ia tidak berlaku apabila Selangor FC membuat keputusan untuk menarik diri daripada bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) berikutan kes serangan ke atas pemain mereka Faisal Halim oleh individu tak dikenali pada 5 Mei 2024.

Daripada lima perlawanan Liga Super yang berlangsung pada 11 dan 12 Mei lalu, aksi Terengganu FC dengan Perak FC mencatat kehadiran penyokong tertinggi iaitu 8,150 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin meskipun pasukan tuan rumah turut diselubungi dengan kes samun ke atas Akhyar Rashid pada 2 Mei 2024.

Tiada insiden yang tidak diingini berlaku di stadium melibatkan pemain atau penyokong dalam perlawanan minggu lalu dengan Malaysian Football League (MFL) menerusi kerjasama pihak Polis, RELA, pegawai keselamatan pasukan dan stadium telah meningkatkan kawalan tahap keselamatan.

Liga Super 2024 diantara PDRM FC dan KEDAH FC yang diadakan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang. ( foto Akma / Flash Sukan )

Malah ketua jurulatih PDRM FC, P. Maniam selepas aksi menentang Kedah Darul Aman FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada 11 Mei 2024 turut menyuarakan keyakinan bahawa tahap keselamatan di tahap terbaik.

“Hari ini ramai anggota keselamatan yang bertugas untuk menjaga keselamatan dan tidak ada sebarang gangguan.

“Saya tidak fikir ini (kes serangan) akan berterusan, saya berdoa ini tidak akan berlaku lagi,” katanya.

Sudah pasti antara individu yang turut lega dengan permulaan Liga Malaysia selepas berehat lama adalah ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon yang mahu menilai prestasi semasa pemain bagi menghadapi dua perlawanan penting kumpulan D kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan pada 6 Jun depan dan Taiwan lima hari kemudian.

Pan-gon dilihat bersama-sama dengan staf kejurulatihannya turut hadir ke Stadium Majlis Perbandaran Temerloh bagi menyaksikan perlawanan antara Sri Pahang FC dan Kelantan Darul Naim FC.

Enam lagi perlawanan Liga Super akan berlangsung minggu ini dan diharapkan agar kawalan keselamatan terus dipertingkatkan bagi memastikan kelancaran saingan Liga Malaysia 2024-2025.