KEHADIRAN pakar psikologi, Frederick Tan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) berjaya mengubah mentaliti beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei bagi menghadapi temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Pasangan yang menghuni ranking kesembilan dunia yang sememangnya ada merujuk parak psikologi peribadi sebelum ini,  memanfaatkan sepenuhnya khidmat Frederick bagi membantu mereka, dari aspek psikologi baik di gelanggang mahupun dalam kehidupan seharian.

Menurut Tang Jie, dia dan Ee Wei amat memerlukan bantuan dari segi psikologi memandangkan mereka sering berdepan kekecewaan dalam kejohanan disertai.

Chen Tang Jie mengakui dapat rasakan perubahan sikap dan fokus dalam melakukan sesuatu perkara, baik dalam gelanggang mahupun kehidupan seharian.

“Saya fikir beliau (Frederick) sentiasa memberikan sokongan kepada kami atas apa yang kami lakukan sama ada di dalam atau luar gelanggang. Bagi saya, beliau seorang individu yang sangat positif.

“Keperluan semua orang (pemain) tidak sama, tetapi untuk saya ianya (bantuan psikologi) sangat diperlukan bukan sahaja di kejohanan, malah ketika latihan juga,” katanya.

Sebelum ini, Tang Jie dan Ee Wei dilihat bergelut mengawal emosi ketika berada di gelanggang, terutamanya sewaktu ketinggalan kepada pihak lawan ataupun mengalami kekalahan.

Chen Tang Jie-Toh Ee Wei perlu lebih fokus dan kekal berdisiplin mengikut strategi dirancang dalam perlawanan.

Bagaimanapun, semua perkara negatif itu sudah dilupakan memandangkan mereka berdua memiliki tugas lebih penting, iaitu menggalas cabaran negara pada temasya sukan terbesar dunia di Paris nanti.

Pada sesi undian yang berlangsung Jumaat lalu, Tang Jie-Ee Wei diundi dalam Kumpulan D bersama gandingan nombor 2 dunia dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping, Vinson Chiu-Jenny Gai (Amerika Syarikat) dan Terry Hee-Jessica Tan (Singapura).

Semua pemain di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) telah berada di Paris untuk kem latihan fasa akhir sebelum menyertai Temasya Paris.