KEHADIRAN Herold Goulon dalam skuad Negeri Sembilan FC gagal menghalang Johor Darul Ta’zim (JDT) meneruskan rentak cemerlang apabila meraih kemenangan ke-16 berturut-turut musim ini dan juga rekod tanpa kalah dalam 50 perlawanan Liga Super sejak 30 April 2021.
Goulon yang sering tidak beraksi apabila menentang JDT sebelum ini sering menjadi tanda tanya penyokong bola sepak tempatan mengenai statusnya dan dia membuktikan dia adalah pemain Negeri Sembilan apabila baik bermain sepanjang 90 minit perlawanan.
Buat Harimau Selatan pula, selain mencatat kemenangan, mereka juga berjaya memecahkan rekod jaringan 61 gol mereka musim lepas dalam liga selepas mencatat kemenangan 2-0 dalam aksi di Stadium Sultan Ibrahim.
LIGA SUPER 2023
FT: Johor Darul Ta'zim 2-0 Negeri Sembilan FC
⚽ Feroz Baharudin 21', Leandro Velasquez 44'#LigaSuper2023#LuaskanKuasamuJohor#HobinJangHobin pic.twitter.com/5Z5nVgRUnS
— Flash Sukan (@FlashSukan) July 8, 2023
Dua gol pada babak pertama menerusi ‘set piece’ itu juga memastikan JDT memanjangkan rekod kemenangan dalam semua pertandingan kepada 28 perlawanan sejak 11 Oktober 2022 dan juga kekal mengukuhkan kedudukan di takhta liga.
Feroz Baharudin memulakan malam gemilang buat JDT apabila menanduk masuk hantaran Leandro Velasquez dari sepakan percuma sebelum Leandro sendiri mencipta nama sebagai penjaring menerusi sepakan percuma yang cantik untuk mengakhiri babak pertama dengan kedudukan 2-0.
Negeri Sembilan yang beraksi dengan blok pertahanan yang rendah telah memaksa Esteban Solari melakukan beberapa pertukaran di bahagian serangan pada babak kedua untuk memecah benteng yang dikawal Goulon.
Safawi Rasid kembali beraksi buat JDT selepas dipinjamkan ke Thailand apabila dimasukkan pada minit ke-65 sekaligus mendapat tepukan gemuruh daripada 13,344 penonton yang gembira dengan kepulangannya ke Iskandar Puteri.
Kedudukan 2-0 kekal hingga tamat perlawanan dan itu sudah cukup buat JDT mengutip tiga mata penuh manakala Negeri Sembilan menerima kekalahan kelima musim ini dan terpaksa turun tangga ke-10 dengan 19 mata selepas 16 perlawanan.