KEHADIRAN pemain import terbaharu Sabah FC, João Pedro Boiera Duarte diharap mampu menyelesaikan ketumpulan jentera bahagian serangan ketika mengharungi Liga Super musim ini.

Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee menjelaskan dia berharap agar pemain ini dapat memberikan sumbangan serta impak segera selepas Ramon Machado meninggalkan Sabah FC bulan lalu.

Namun dia meminta para penyokong harus faham agar tidak menyamakan kualiti permainan antara Ramon serta João Pedro berikutan mereka mempunyai cara permainan yang berbeza.

“Harapan saya sudah tentu untuk melihat João Pedro beraksi cemerlang serta memastikan kita mempunyai pengganti yang sama seperti Ramon untuk membantu jentera serangan.

“Isu penyudah tumpul yang sebelum ini menggagalkan usaha Sabah FC untuk mendapatkan keputusan yang bermakna dalam saingan Liga Super diharap selesai dengan kedatangan João,” katanya.

Kim Swee juga turut mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan terutama kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sabah (SAFA), Datuk Shahelmey Yahya kerana memberikan persetujuan untuk mencari pengganti Machado.

“Ini termasuk juga kepada pengurus pasukan Sabah FC, Rafie Robert dan pengurus Sabah FC II, Datuk Abdul Kassim Razali yang banyak membantu untuk mendapatkan khidmat pemain import terbaharu ini.

“Kita akan pastikan João Pedro dapat menyesuaikan diri dengan taktikal pasukan memandangkan tempoh liga berehat ketika ini yang hanya akan disambung pada 15 September depan,” tambahnya.