PENGENDALI PT Athletic FC, Nazrulerwan Makmor melihat kehadiran pemain-pemain senior dalam pasukan sedikit sebanyak membantu pasukan itu untuk berdaya saing di atas padang.
Baginya, impak yang diberikan oleh pemain-pemain senior seperti Indra Putra Mahayuddin dan Amri Yahyah adalah sangat besar.
Beliau berkata demikian selepas PT Athletic berjaya mengutip tiga mata pertama dalam saingan Liga A1 Semi Pro MBSB Bank Championship dengan menewaskan Bukit Tambun FC 3-1.
“Ia bukan satu perlawanan yang senang kerana Bukit Tambun merupakan sebuah pasukan yang baik tapi kami mampu untuk menjaringkan tiga gol.
“Bagi saya pengalaman yang ada dalam pasukan ini memberi kami kelebihan untuk mengatasi tempo permainan Bukit Tambun.
“Kita tengok impak pemain-pemain senior dan mereka memberikan impak yang bagus sebab mereka mampu untuk mengawal tempo permainan selama 90 minit walaupun mereka sudah berumur dan paling penting mereka memberikan 100 peratus kepada pasukan,” katanya selepas perlawanan petang tadi.
PT Athletic lebih banyak mengawal permainan secara keseluruhan permainan serta mencipta lebih banyak ruang untuk menyerang namun percubaan mereka adakalanya sedikit mengecewakan.
Gol PT Athletic berjaya dihasilkan oleh kapten pasukan, Indra Putra Mahayuddin dan Amri Yahyah, yang menjaringkan dua gol pada minit ke-45 dan 95 manakala gol sagu hati Bukit Tambun FC dijaringkan oleh Syafiq Heelmi pada minit ke-93.
“Ini adalah permulaan yang baik untuk kami dalam saingan liga musim ini dan kami dedikasikan tiga mata ini kepada penyokong-penyokong yang hadir pada hari ini. Saya minta mereka untuk datang dan sokong kami lagi untuk perlawanan akan datang,” ujarnya lagi.
PT Athletic akan berkunjung ke Kuala Selangor untuk bertemu Harini FT untuk aksi liga yang seterusnya pada 22 Jun ini.