JAWATANKUASA Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Suraya Yaacob telah melantik Soleen Al-Zou’bi dari Jordan sebagai ketua jurulatih baharu skuad bola sepak wanita kebangsaan  bagi penggal 2021-2025 pada Isnin lalu.

Ucapan penghargaan turut dizahirkan Soleen kepada Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin serta barisan Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM yang lain kerana telah mempersetujui pelantikannya yang akan mula melapor diri di Wisma FAM, Kelana Jaya pada 1 Disember 2022.

“Soleen merupakan Ketua Unit Bola Sepak Wanita dan Penolong Pengarah Teknikal di Persatuan Bola Sepak Jordan (JFA). Saya sendiri secara peribadi sudah mengenali beliau kerana saya dan Soleen merupakan Ahli Jawatankuasa Bola Sepak Wanita AFC sejak dari tahun 2019.

“Sudah tentu ini merupakan satu langkah besar buat bola sepak wanita negara kerana kita telah mengambil jurulatih dari luar yang mempunyai latar belakang agak baik sebagai pengendali baharu skuad kebangsaan selepas hanya menggunakan jurulatih tempatan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

“Untuk makluman semua, Soleen bukan saja bertindak sebagai ketua jurulatih skuad bola sepak wanita, malah beliau juga akan menggalas tugas selaku Ketua Unit Wanita FAM bagi merancang program-program berkaitan bola sepak wanita di negara ini.

“Kehadiran Soleen diharap mampu untuk melonjakkan bola sepak wanita di negara ini terutama dalam memastikan skuad bola sepak wanita kebangsaan dapat memberikan saingan terbaik di pentas antarabangsa, selain merancakkan lagi minat remaja perempuan dan wanita kepada sukan bola sepak yang sekali gus dapat memperbesarkan lagi kumpulan bakat berpotensi,” ujar beliau.

ARTIKEL BERKAITAN : Luahan awal ketua jurulatih bola sepak wanita Malaysia Soleen

Bagi tahun 2023, pasukan-pasukan kebangsaan wanita akan menghadapi Sukan SEA 2023 di Kemboja, Kelayakan Olimpik 2024, Kejuaraan Wanita AFF 2023, Kelayakan Piala Asia Wanita B-20 2024, Kejuaraan Wanita B-19 AFF 2023, Kelayakan Piala Asia Wanita B-17 2024 serta Kejuaraan Wanita B-16 AFF 2023.

Selain itu, di peringkat domestik pula, kita akan menjalankan Liga Wanita Nasional (LWN) dan Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) bagi musim 2023, selain bengkel-bengkel berkaitan bola sepak wanita dan paling utama, pelancaran Pelan Pembangunan Bola Sepak Wanita FAM.