PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari menyifatkan keharmonian dalam bilik persalinan adalah antara faktor penting buat anak buahnya bermotivasi memberikan aksi terbaik secara konsisten sehingga berjaya melakar sejarah merangkul gelaran juara Liga Super kali ke-10 berturut-turut musim ini.
Solari menjelaskan, keharmonian ini juga menjadi titik tolak buat keseluruhan pemain skuad Harimau Selatan menjadi lebih bersemangat untuk meningkatkan kualiti permainan masing-masing seterusnya membantu Harimau Selatan melakar sejarah sedekad dominasi.
Pengendali Argentina itu juga puas apabila memenangi gelaran Liga Super sulungnya sejak mengambil alih tugas ketua jurulatih Disember lalu yang menjadi salah satu sasaran kelab untuk mempertahankan kejuaraan itu sejak 2014.
“Ini adalah hari paling bermakna buat JDT apabila muncul juara buat kali ke-10 berturut-turut. Kami bukan sahaja menakluki liga malah memberi persembahan terbaik dari hari pertama, menang 21 perlawanan dan tidak pernah kalah, jaring 86 gol dan hanya bolos tujuh kali, ini amat memberangsangkan.
“Semua ini adalah hasil usaha keras setiap pemain yang cukup profesional, mereka menunjukkan kesungguhan untuk belajar menjadi lebih baik selain mempamerkan komitmen yang tinggi setiap kali turun berlatih yang akhirnya diterjemahkan pada perlawanan sebenar.
“Kesemua pemain sentiasa memberikan 100 peratus untuk membuktikan mereka layak berada dalam pasukan, ini dapat dilihat dalam setiap perlawanan apabila mereka bermain bersungguh-sungguh membuktikan mereka adalah yang terbaik,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Misi Solari bersama JDT sangat jelas iaitu untuk membantu Harimau Selatan menjadi versi yang lebih digeruni lawan dan ini terbukti apabila purata jaringan bagi setiap perlawanan liga musim ini adalah hampir empat gol bagi setiap perlawanan.
Berbekalkan ilmu yang ditimba di Liga Argentina serta pasukan bawah 23 tahun negara itu, Solari cuba untuk menjadikan setiap pemain lebih baik dari setiap aspek dan dia gembira dengan mentaliti para pemain Harimau Selatan.
“Mungkin ada yang tidak sukakan dengan cara saya, itu adalah normal dalam bola sepak, tambahan pula JDT mempunyai skuad yang besar dan sukar untuk mendapat tempat beraksi. Cabaran yang sukar adalah untuk memotivasikan pemain yang jarang diturunkan supaya mereka berada di tahap terbaik dan itu tidak menjamin peluang untuk diturunkan.
“Ini bukanlah tugas yang sukar namun mereka tepat menunjukkan kesungguhan dan ini yang menggerakkan pasukan untuk terus bekerja keras, karektor seperti Aidil Zafuan, Farizal Marlias dan Safiq Rahim memainkan peranan lebih besar menjaga keharmonian dalam bilik persalinan,” jelasnya.
JDT berjaya mempertahankan kejuaraan Liga Super yang dimenangi sejak 2014 selepas membenam PDRM FC 4-0 di Stadium Sultan Ibrahim menerusi jaringan Bergson Da Silva, Juan Muniz, Arif Aiman Hanapi dan Fernando Forestieri di hadapan lebih 12,000 penyokong.