KEDUDUKAN Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang diberitakan mahu meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk bergerak secara profesional, hanya akan diputuskan dalam satu mesyurarat, hujung bulan ini.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, pihaknya perlu mengadakan perbincangan terlebih dahulu sebelum mengemukakannya kepada ahli majlis badan induk itu untuk mendapatkan kelulusan.

“Kami tidak boleh beritahu apa-apa kerana belum tahu lagi segala keputusan. Kami perlu duduk untuk berbincang dan hasil akan dikemukakan kepada ahli majlis bagi mendapatkan kelulusan,” katanya, ketika ditemui pada sidang media di ABM hari ini.

Kepastian mengenai berita Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani mahu menjadi pemain profesional, hanya akan disahkan dalam Mesyuarat Ahli Majlis BAM.

Jelas Rexy, ketika ini, gandingan yang menduduki ranking ke-13 dunia itu akan kekal menjalani latihan seperti biasa di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

“Mereka masih berlatih seperti biasa di sini dan akan sertai Terbuka Jepun dan Korea,” katanya.

Kali ini, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani mahu menjadi pemain profesional, bukan berpisah.

Terdahulu, terdapat laporan menyatakan Sze Fei-Izzuddin mahu meninggalkan badan induk itu untuk meneruskan karier mereka sebagai pemain profesional.

Difahamkan, pasangan itu akan mengikut jejak langkah pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia dengan menyertai jenama luar BAM.

Sze Fei dan Nur Izzuddin sebelum ini berpisah pada Januari tahun lalu sebelum disatukan semula enam bulan kemudian.