SEBELUM ini, pemain import PDRM FC, Bruno Suzuki ada meluahkan rasa teruja kerana dapat merasai pengalaman berpuasa buat kali pertama sebagai seorang Muslim.
Tetapi kali ini, FLASH SUKAN telah meminta pandangan daripada Bruno mengenai persiapan Hari Raya Aidilfitri pula yang akan menjelang beberapa hari lagi.
Jelas pemain kelahiran Jepun ini, setelah hampir sebulan berpuasa, sudah pasti dirinya kini sudah bersiap sedia untuk menyambut Aidilfitri, tambah lagi adanya teman wanita disampingnya yang dapat membantu melancarkan lagi persiapan raya.
“Awal-awal puasa, ianya agak sukar tetapi setelah dua atau tiga minggu, semuanya berjalan dengan baik sahaja. Puasa saya juga masih penuh.
“Oleh itu, saya juga berasa sangat teruja untuk menyambut perayaan Aidilfitri ini, tambahan persiapan setakat ini pula agak memuaskan kerana teman wanita saya juga membantu perkara itu.
“Saya sudah memiliki baju raya berwarna biru tahun ini, itu cukup jelas membuktikan yang saya tidak sabar untuk meraikan Aidilfitri tahun ini,” ujar Bruno kepada FLASH SUKAN.
Dalam masa yang sama, Bruno juga ada berkongsi bahawa dirinya rajin turun ke bazar Ramadhan dan menyifatkan makanan-makanan yang dijual itu cukup enak.
Dirinya berpuas hati setelah mencuba pelbagai jenis makanan di bazaar, namun untuk menyatakan nama makanan itu agak susah kerana dia tidak mengingati nama makanan tersebut.
Artikel Berkaitan: Bruno Suzuki teruja hari pertama berpuasa sebagai Muslim!