TAHNIAH ! TAHNIAH ! TAHNIAH !

Itu adalah ungkapan paling tepat untuk diberikan buat seluruh pemain, jurulatih dan pengurusan skuad Malaysia B-19 selepas muncul juara Piala AFF B-19 di Indonesia.

Seperti kata jurulatihnya, Hassan Sazali Mohd Waras kemenangan diraih itu bukan untuk dirinya tetapi buat pasukan dan seluruh rakyat Malaysia.

Dalam aksi final di Stadium Patriot Candrabhaga, Bekasi, pemain negara penuh bersemangat waja melenyapkan kisah dongeng Laos B-19 yang mengimpikan koleksi kejuaraan.

Pencapaian itu sekali gus berjaya menebus kehampaan tewas 0-1 dalam perlawanan peringkat kumpulan sebelum ini.

“Syukur Alhamdulillah apa yang kita rancangkan hari ini beroleh kejayaan.

“Senjata kita adalah disiplin pemain semasa dalam permainan. Mereka ikut perancangan apa kita aturkan pada malam ini.

“Kredit dan pujian buat para pemain dan perlu tahu bahawa kesemuanya bakal menjadi pemain senior pada satu hari nanti,” kata pengendali berusia 57 tahun itu.

Jelas Hassan Sazali, hasil tuaian yang dinikmati mereka pada hari ini adalah struktur pembangunan Malaysia dalam melahirkan pemain terbaik di peringkat pelapis.

“Saya kena ucapkan terima kasih kepada semua jurulatih terlibat dalam program tersebut sehinggalah kita berada ke peringkat sekarang.

“Semoga, adanya platform sebegini negara boleh lagi menghasilkan produk berkualiti,” ujarnya mengakui persiapan anak buahnya pada kejohanan kali ini agak pendek.

Bekas pengendali Harimau Muda C itu menjelaskan pertandingan di Bekasi disifatkan sebagai warm up dan membuka jalan melangkah lebih jauh di peringkat kelayakan AFC yang akan berlangsung pada September depan.