PENYERANG Selangor FC, Ronnie Fernandez, meluahkan kegembiraannya selepas membantu pasukan meraih kejuaraan pertama dalam tempoh 10 tahun.
Lebih manis, pemain kelahiran Chile itu turut dinobatkan sebagai Pemain Terbaik MFL Challenge Cup 2024-25 atas aksi cemerlangnya sepanjang pertandingan.
“Saya sangat gembira menjadi juara bersama Selangor FC. Ini adalah detik bersejarah buat kelab selepas menanti selama 10 tahun untuk kembali merangkul trofi. Sebagai pemain bola sepak, peluang untuk bermain dalam final dan menjulang trofi bukan sesuatu yang mudah diperoleh.
“Ini adalah pencapaian yang sangat bermakna buat saya, pasukan, dan juga keluarga saya yang hadir menyaksikan kejayaan ini,” ujar Ronnie dengan penuh rasa bangga.
Ronnie turut menekankan betapa sukarnya untuk mencapai kejayaan seperti ini, terutama bagi pemain yang beraksi di luar negara.
“Menjadi pemain bola sepak profesional di luar negara bukan sesuatu yang mudah, dan untuk menjadi juara adalah satu pencapaian yang jarang dinikmati oleh ramai pemain. Saya bangga dapat membawa nama negara saya ke peringkat yang lebih tinggi dan memberikan penghormatan kepada keluarga serta pasukan,” katamya.
Kejayaan ini bukan sahaja memberi sinar baharu buat Selangor FC tetapi juga menjadi bukti bahawa pasukan tersebut masih mampu bersaing di peringkat tertinggi bola sepak Malaysia.
Penyokong Gergasi Merah turut membanjiri stadium bagi meraikan kemenangan bersejarah ini, sekaligus menyuntik semangat baharu buat pasukan dalam menghadapi musim-musim mendatang.