KEJAYAAN mengikat Republik Korea 3-3 ketika kempen Piala Asia Januari lalu menjadi perangsang tambahan keyakinan para pemain Harimau Malaya menjelang aksi ketiga Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman di Muscat pada Khamis.
Rata-rata pemain melihat keputusan di Doha itu sebagai detik yang membuktikan mereka mampu bersaing dengan mana-mana pasukan meskipun dilabel pasukan kerdil dengan ranking yang rendah berbanding lawan.
Penjaring gol penyamaan ketika itu, Romel Morales menganggap tekanan yang diberikan oleh para penyokong kepada skuad Harimau Malaya ketika ini adalah sebagai motivasi tambahan kerana mereka sentiasa berada di belakang pasukan walau dalam apa jua keadaan sekalipun.
“Ianya motivasi yang baik mendapat sokongan daripada penyokong kerana mereka sentiasa berada di belakang pasukan. Malaysia sedang beraksi cemerlang oleh itu kami perlu lakukan yang terbaik dan berharap dapat keputusan yang positif.
“Sudah tentu saya bersedia mencipta sejarah kerana ini adalah mimpi seluruh rakyat Malaysia untuk melihat pasukan ini pergi ke peringkat seterusnya dalam pusingan kelayakan ini.
“Jadi kami perlu lakukan tugas kami meskipun sedar Oman adalah pasukan yang sukar dan cuba dapatkan keputusan yang baik buat semua rakyat Malaysia,” katanya kepada FLASH SUKAN di Muscat.
Romel yang pada debutnya mendapat kecaman hebat para penyokong tidak mahu perkara itu mengganggu dirinya sebaliknya menggunakannya sebagai semangat tambahan sambil gembira kerana dapat beraksi bersama-sama Paulo Josue yang mana mereka sudah memahami corak permainan masing-masing.
Namun dia hanya mahu cepat mengadaptasi dengan taktikal serta latihan yang diterapkan kerana sedar kesemua pemain yang terpilih mahu merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan.
“Semua orang tahu gandingan saya dan Paulo kerana selama tiga tahun kami bermain bersama-sama dan sebagai pemain ianya lebih mudah jika kita mempunyai rakan yang faham corak permainan masing-masing.
“Tetapi apa yang penting adalah saya perlu mengadaptasi dengan cepat kerana semua 24 yang dipanggil dalam skuad kali ini adalah yang terbaik dan semua mahu merebut kesebelasan utama,” jelasnya.
Malaysia bakal berhadapan Oman di Stadium Kompleks Sukan Sultan Qaboos, Muscat pada 21 Mac sebelum bertemu semula di Bukit Jalil lima hari kemudian dalam aksi terpenting bagi memastikan kedudukan tangga teratas Kumpulan D dapat dikekalkan dan semakin menghampiri pusingan seterusnya.