PEMAIN Al-Seeb, Eid Mohammed Al Farsi nyata gembira dengan kejayaan kelabnya melakar sejarah muncul juara Piala AFC dalam penampilan pertama mereka.
Al-Seeb berjaya merangkul kejuaraan kejohanan tier kedua kelab Asia selepas menewaskan Kuala Lumpur City FC 3-0 dalam aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu.
Selain berjaya merangkul piala, kapten kelab dari Oman itu juga turut dipilih sebagai pemain paling bernilai (MVP) Piala AFC 2022 sekaligus melengkapkan kempen gemilangnya dalam Piala AFC musim ini.
Namun dia tidak mendabik dada sebaliknya mendedikasikan kemenangan ini kepada rakan sepasukan yang lain yang turut sama berjuang bagi memastikan Al-Seeb mendapat apa yang telah mereka hajatkan untuk muncul juara Asia.
Pemain berusia 32 tahun itu turut memuji para penyokong Al-Seeb yang hadir ke Kuala Lumpur dan menganggap mereka adalah antara elemen nombor satu yang membantu kelab untuk menjadi juara Asia.
“Kejayaan ini adalah impian bagi saya dan para pemain. Saya berbangga dengan aksi yang ditunjukkan rakan sepasukan kerana mereka bermain seperti lelaki sejati.
“Kami berjaya menunjukkan corak dan sistem permainan kami dan bangga dengan apa yang berlaku serta berharap ini adalah permulaan kepada sesuatu yang lebih baik buat Al-Seeb dan juga bola sepak Oman.
“Saya memang menjangkakan ramai penyokong kami disini kerana mereka sentiasa ada dibelakang kami tanpa mengira tempat. Mereka adalah nombor satu dan sorakan mereka banyak memberikan kesan kepada permainan dan banyak membantu kami beraksi lebih cemerlang,” kata pemain yang mempunyai 70 kaps dengan skuad kebangsaan Oman itu.
Dia yang menjaringkan dua gol dalam kejohanan ini banyak memberikan galakan kepada rakan sepasukan bagi memastikan mereka beraksi cemerlang pada setiap perlawanan yang dihadapi sejak dari peringkat kumpulan.
Dua gelaran yang dimenangi di Kuala Lumpur itu melengkapkan malam gemilang Al-Seeb yang kini bakal beraksi di peringkat kelayakan Liga Juara-Juara AFC untuk musim 2023-2024.