KEJAYAAN penyerang kebangsaan Faisal Halim memenangi anugerah ‘Goal Of The Tournament’ Piala Asia 2023 hasil undian peminat turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Faisal atau mesra disapa Mickey berjaya menewaskan tujuh lagi pencabar utama dengan 85 peratus undian sekaligus mencipta sejarah buat Malaysia meskipun tidak berjaya layak ke pusingan 16 terbaik dalam kejohanan yang dianjur Qatar itu.
Anwar membuat balasan pada hantaran di laman sosial rasmi Piala Asia dengan kapsyen ‘Steady Faisal Halim! Terbaik anak muda! yang mendapat hampir 2,000 tanda suka setakat artikel ini ditulis.
Steady @faisalhalim_7 ! Terbaik anak muda! https://t.co/u0t6IaKvY1
— Anwar Ibrahim (@anwaribrahim) February 26, 2024
Faisal yang menjaringkan gol ketika Harimau Malaya mengikat Republik Korea 3-3 itu membalas hantaran itu dengan mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan memohon doa agar dia dan pasukan kebangsaan terus berjaya di kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
“Alhamdullilah, terima kasih atas ucapan ini YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Doakan kejayaan saya dan pasukan Harimau Malaya di pentas kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2027,” tulisnya.
Terdahulu Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengesahkan jaringan Faisal Halim dipilih sebagai gol terbaik kejohanan Piala Asia 2023 menerusi laman sosial rasmi selepas tempoh undian dijalankan selama satu minggu.