KEJAYAAN merangkul pingat Emas di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di India semalam merupakan berita gembira bagi skuad lumba basikal trek negara, Nurul Izzah Mohd Asri. Kemenangan ini merupakan pencapaian juara Asia pertama dalam kariernya.

Pencapaian membanggakan ini segera mendapat reaksi positif daripada jaguh trek berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang.

Menurutnya, ACC New Delhi merupakan tempat dan waktu terbaik kepada pelumba-pelumba negara untuk menonjolkan potensi sebenar mereka termasuk untuk merangkul kejuaraan Asia yang sentiasa menjadi idaman oleh semua pelumba di rantau Asia.

May be an image of 3 people and text

Nurul Izzah (belakang) dan Anis Amira Rosidi meraih podium.

“Nurul Izzah menunjukkan semangat perjuangan yang tinggi dan beliau mempamerkan kemahuan yang mengatasi segala-galanya.

“Kejayaan Nurul Izzah adalah semboyan kepada landskap sukan Malaysia yang beliau mempunyai masa depan yang cerah untuk pergi lebih jauh. Pecutan Nurul Izzah semalam juga diharap mengingatkan semua pihak yang saiz tubuh badan itu bukanlah indikator terbesar didalam menentukan bakat seseorang,” katanya dalam catatan di Facebook.

Nurul Izzah yang berusia 21 tahun mempamerkan kayuhan bertenaga untuk menjadi pelumba pertama yang melintasi garisan penamat.

Dia mengatasi pencabar terdekat dari China, Tong Mengqi yang terpaksa berpuas hati di tempat kedua manakala gangsa acara itu menjadi milik seorang lagi pelumba negara, Anis Amira Rosidi.

Bercerita lanjut, Azizulhasni yang juga terkenal dengan gelaran The Pocket Rocketman juga mahu semua pihak memberikan pujian kepada rakan sepasukan Nurul Izzah iaitu Anis Amira Rosidi atas pencapaian pingat gangsa semalam.

“Semangat yang beliau tonjolkan didalam perlumbaan untuk terus bertahan dengan kelajuan sehingga ke garisan penamat menjadi bukti kemahuan tinggi yang dimiliki. Untuk rekod, Anis berlumba di dalam kecederaan dan sudah tentu kejayaan pingat gangsa itu merupakan pencapaian yang sangat manis buat beliau,” katanya.

May be an image of 3 people and text that says "NIOR, 30TH JUNIOR A TRACK CYCLING 21-26 February 2024, New C7 CYCLING FEDER DHC ASIAN"

Nurul Izzah (tengah) Anis Amira dan ada potensi mengembangkan lagi karier dalam perlumbaan akan datang.

Azizulhasni tidak ketinggalan mengucapkan syabas buat dua pelumba adik-beradik, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Ridwan Sahrom yang juga beraksi di ACC.

Ridwan berjaya mara ke final namun tidak dapat menjelmakan warna pingat selepas menamatkan perlumbaan di kedudukan kelima daripada enam pelumba.

ARTIKEL BERKAITAN : Nurul Izzah Izzati raih emas keirin Kejohanan Trek Asia

Manakala, hasrat Shah Firdaus menghadiahkan pingat dalam acara yang sama tidak kesampaian selepas gagal mara ke final dan sekadar mampu berada di kedudukan kelapan dalam penentuan tempat ketujuh hingga 12.

“Syabas di atas usaha yang diberikan semalam. Diharap anda berdua akan tidak akan mengaku kalah dan akan terus berusaha dengan lebih gigih untuk masa hadapan,” ujarnya.