GANDINGAN beregu wanita negara, Pearly Tan dan M Thinaah mendapat tonik mujarab menjelang Kejohanan Akhir Jelajah Dunia yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand, 7 hingga 11 Disember depan, apabila menerima insentif daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini.
Hadiah kemenangan itu diberi susulan kejayaan pasangan wanita nombor satu negara, muncul beregu wanita pertama dari Malaysia menjuarai Terbuka Perancis sejak kejohanan itu dianjurkan pada 1908.
Insentif sebanyak RM37,500 itu disampaikan Presiden BAM, Tan Sri Mohammad Norza Zakaria dalam satu majlis ringkas sejurus selepas Mesyuarat Majlis BAM.
Pearly dan Thinaah sebelum ini memperoleh wang kemenangan daripada kejohanan terbabit yang berjumlah $49,950 (RM223,776).
“Sudah pasti insentif ini memberi motivasi kepada kami untuk bermain lebih baik di masa depan,” kata Pearly.