PEMAIN pasukan Malaysia 7s, Ahmad Azriddin Rosli yakin terhadap kemampuan skuad kebangsaan untuk terus melangkah ke peringkat akhir dalam kejohanan Asia 7s Football Championship 2024.

Azriddin percaya bahawa keserasian pasukan, khususnya bantuan daripada pemain-pemain senior, menjadi kunci kejayaan mereka.

“Kejayaan ini adalah hasil kerjasama erat antara semua pemain. Arahan yang jelas daripada pemain-pemain senior sangat membantu kami untuk bermain dengan lebih baik.

“Keserasian pasukan juga terbentuk daripada pengalaman yang dikongsi oleh mereka,” ujar Azriddin selepas perlawanan.

Pasukan Malaysia kini mara ke separuh akhir dan akan berdepan juara bertahan, Jepun, dalam perlawanan yang dijangka sengit. Namun, Azriddin tidak gentar dan yakin pasukan negara mampu memberi tentangan hebat kepada lawan mereka.

“Walaupun Jepun adalah juara bertahan, kami tidak gentar. Kami akan berikan aksi 100 peratus kerana yakin dengan kemampuan kami. Matlamat kami adalah untuk mara ke final, jadi kami akan berjuang habis-habisan esok (Sabtu),” katanya penuh semangat.

Sebelum ini, pasukan negara mempamerkan aksi luar biasa dalam perlawanan terakhir peringkat Kumpulan B apabila membelasah Hong Kong 9-0, menunjukkan mereka berada di prestasi terbaik untuk menghadapi Jepun.

Perlawanan separuh akhir Malaysia vs Jepun dijadualkan berlangsung pada Sabtu petang, jam 6:00 petang

Perlawanan separuh akhir menentang Jepun dijadualkan berlangsung pada Sabtu petang, jam 6:00 petang, di EV Arena Elmina.

Pasukan negara kini semakin hampir untuk mencipta sejarah dalam kejohanan Asia 7s kali ini, dengan harapan tinggi daripada seluruh penyokong Malaysia.