PASUKAN Bola Sepak 7s Malaysia mempamerkan aksi mantap dalam perlawanan pertama menentang India dengan meraih kemenangan besar 5-1 dalam kejohanan Asia 7s di EV Arena Elmina, Shah Alam pada Khamis.

Dengan pimpinan ketua pasukan Razman Roslan, Malaysia mendominasi permainan dengan serangan bertubi-tubi. Penyerang negara Rafie Yaacob mencipta peluang awal dengan rembatan kencang, namun ditepis penjaga gol India yang menyebabkan sepakan penjuru buat Malaysia.

Peluang itu digunakan sebaiknya oleh Ameer Saidin apabila sepakan penjuru menyaksikan bola tertampan masuk ke gawang sendiri oleh penjaga gol India, meletakkan Malaysia di hadapan 1-0.

 

Malaysia melawan India dalam perlawanan pertama

Namun, kegembiraan Malaysia tidak lama. Kesilapan yang berlaku di bahagian pertahanan dan penjaga gawang negara Izzat Abdul Rahim membuka ruang kepada pemain India, Daman  untuk menyamakan kedudukan dengan rembatan padu, menjadikan kedudukan 1-1. 

Malaysia cuba memecahkan kebuntuan selepas itu, tetapi percubaan Manaf Mamat yang baharu dimasukkan tersasar dari gawang India. Kedudukan kekal 1-1 sehingga tamat separuh masa pertama.

Masuk separuh masa kedua, Malaysia meneruskan rentak garang. Pivot negara Kisshaen Ananthan, hampir menjaringkan gol selepas rembatan kuatnya dihalang pemain pertahanan India. 

Malaysia terus memberi tekanan, dan akhirnya Indra Putra, yang mendapat hantaran back heel cantik dari Kisshaen, berjaya menjaringkan gol kedua Malaysia dalam situasi satu lawan satu dengan penjaga gol India. Malaysia kini di hadapan 2-1.

Selepas gol tersebut, Malaysia mula menguasai permainan sepenuhnya dengan gabungan pemain pengalaman seperti Indra Putra dan pemain futsal negara. 

Satu lagi percubaan daripada Indra hampir menghasilkan gol, tetapi ditepis penjaga gol India. Pasukan India cuba menyerang semula, namun gagal memanfaatkan peluang apabila sepakan Ibu, hanya melewati di atas palang gol.

Cuaca mendung mempengaruhi permainan skuad negara.

Fandi, yang melakukan larian pantas, memberikan hantaran yang kemas kepada Kisshaen untuk gol ketiga Malaysia. Tidak lama kemudian, Fandi meneruskan aksi cemerlangnya dengan jaringan keempat Malaysia hasil gerakan ‘one-two’ bersama Indra Putra, menjadikan kedudukan selesa 4-1.

Malaysia yang hanya memerlukan satu lagi gol untuk mengesahkan kemenangan di masa tambahan, kerana format pertandingan di masa tambahan pasukan yang mendahului menjaringkan gol akan dikira sebagai pemenang. Manakala pasukan yang ketinggalakan mempunyai peluang di masa tambahan ini juka dapat comeback dan meraih kemenangan.

Skuad negara berjaya melepasi perlawanan pertaman dengan kemenangan bergaya ke atas India.

Skuad bimbingan Sulaiman Hussin tidak mengambil masa lama apabila Kisshaen berjaya menyempurnakan rembatan dari tengah padang, memastikan kemenangan penuh 5-1 milik negara.

Skuad Malaysia akan menentang pasukan Filipina pada jam 10 malam khamis untuk mengesahkan peluang ke peringkat seterusnya.