MESKIPUN tewas 3-0 kepada Jepun dalam perlawanan separuh akhir Asia 7s Football Championship 2024 di EV Arena Elmina, Ketua Jurulatih Malaysia 7s, Sulaiman Hussin tetap berpuas hati dengan prestasi pasukan negara.

Menurutnya, pemain telah memberikan segalanya di atas padang walaupun berdepan dengan pasukan Jepun yang datang dengan persiapan rapi.

“Kami tak boleh minta lebih daripada pemain kerana mereka sudah memberikan yang terbaik. Jepun adalah pasukan yang sangat bersedia, mereka berlatih di Brazil untuk kejohanan ini.

“Bagi pemain kami, ini adalah kali pertama menyertai kejohanan tujuh sebelah, jadi untuk mara hingga ke separuh akhir, saya sangat berterima kasih kepada mereka,” kata Sulaiman selepas tamat perlawanan.

Pasukan Harimau Malaya 7s menunjukkan aksi yang baik dalam kejohanan 7s tahun ini walaupun kali pertama menyertai.

Malaysia, yang baru menyertai kejohanan tujuh sebelah, berjaya mara ke separuh akhir walaupun Jepun ternyata lebih dominan sepanjang perlawanan. Walaupun tewas, Sulaiman tidak kecewa, malah berpendapat pasukan Malaysia menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan.

“Walaupun kami kalah, saya tak menyesal kerana Jepun memang pasukan yang hebat buat masa ini. Mungkin jika kami dapat persiapan yang lebih baik, kami akan beraksi lebih mantap pada masa hadapan,” tambahnya.

Sulaiman turut melihat potensi besar format tujuh sebelah ini untuk berkembang di Malaysia. Beliau mencadangkan agar konsep pertandingan tujuh sebelah diperkenalkan di setiap negeri dan menjadi liga profesional pada masa depan.

“Saya nampak format ini sebagai satu tarikan baharu kepada peminat bola sepak tempatan. Pemain yang tak dapat ke liga Malaysia atau hampir bersara boleh cuba sertai 7s, dan saya yakin ia akan mendapat sambutan hangat daripada peminat-peminat tanah air,” ujarnya.

Sulaiman juga mengucapkan terima kasih kepada penyokong-penyokong Harimau Malaya yang tidak putus-putus memberikan sokongan sepanjang kejohanan ini.

“Terima kasih kepada semua penyokong yang hadir. Ramai kata permainan ini lebih mendebarkan daripada format sebelah biasa, jadi saya harap sokongan ini akan berterusan jika ada lagi pertandingan tujuh sebelah pada masa depan,” katanya.

Meskipun tidak berjaya ke final, pasukan Malaysia 7s tetap boleh berbangga dengan pencapaian mereka dan akan terus berusaha memperbaiki prestasi di kejohanan akan datang.