PASUKAN Malaysia 7 Sebelah tampil garang dalam perlawanan ketiga mereka di Kejohanan Bola Sepak Asia 7s yang berlangsung di EV Arena, Elmina, Shah Alam, dengan kemenangan besar 9-0 ke atas Hong Kong pada Jumaat.
Kemenangan ini melayakkan skuad negara ke peringkat suku akhir dan akan menentang Singapura pada jam 9:45 malam ini.
Dari wisel permulaan, Malaysia terus menguasai perlawanan, dengan percubaan awal dari Ameer Saidin yang sedikit tersasar.
Pemain tengah negara, Kisshaen, yang diberikan tempat dalam kesebelasan utama selepas aksi cemerlang sebelum ini, memberikan impak besar apabila beliau membantu gerakan serangan yang membawa kepada jaringan pertama.
Pada minit ketiga, Fandi Othman membuka tirai jaringan menerusi hantaran cantik dari Kisshaen.
Pasukan negara tidak memberikan peluang kepada Hong Kong untuk bangkit, dengan Fandi sekali lagi mencetak gol pada minit keenam selepas kombinasi gerakan dengan Kisshaen yang memukau. Malaysia terus menambah derita Hong Kong apabila duo Fandi dan Kisshaen menjadikan kedudukan 3-0 pada minit kesembilan.
Separuh masa pertama berakhir dengan kelebihan 4-0 untuk Malaysia selepas Indra putra, melalui pengalaman luasnya, menjaringkan gol dari sepakan percuma yang sempurna pada minit ke-16.
Di separuh masa kedua, Malaysia membuat pertukaran penjaga gol, dengan Izzat abdul Rahim digantikan oleh Haziq Harris.
Malaysia bermain dengan lebih berhati-hati, namun tetap terus memberikan tekanan kepada Hong Kong. Kisshaen menambah gol kelima Malaysia menerusi rembatan tepat, diikuti dengan gol keenam oleh Ameer Saidin yang semakin menghampiri Hong Kong kepada kekalahan mutlak.
Razman dan Manaf Mamat masing-masing menyumbang gol pada minit ke-34 dan minit ke-36, menjadikan kedudukan 8-0 sebelum perlawanan memasuki ‘comeback period’. Dalam tempoh ini, Azriddin Rosli pantas menambah satu lagi gol untuk Malaysia, sekaligus menutup kemenangan besar 9-0.