KEJAYAAN cemerlang menewaskan Singapura 5-1 dalam Kejohanan Bola Sepak Asia 7s menambah keyakinan pasukan negara yang kini mara ke peringkat separuh akhir, di mana mereka bakal berdepan pasukan gergasi Asia, Jepun.

Ketua jurulatih pasukan negara, Sulaiman Hussin, meluahkan rasa bangga terhadap prestasi anak-anak buahnya selepas perlawanan.

Dia mengucapkan tahniah kepada semua pemain, baik yang berpengalaman mahupun pemain muda, atas komitmen dan kesungguhan yang dipamerkan.

“Pertama sekali saya ingin ucapkan tahniah kepada pemain-pemain saya kerana dari awal lagi kami telah berjanji untuk membawa pasukan Malaysia sejauh mungkin.

“Semua pemain, baik senior atau muda, mereka memberikan yang terbaik. Saya beritahu mereka, kita datang ke sini demi negara dan mereka membuktikannya di padang dengan kesungguhan serta kerjasama yang baik,” kata Sulaiman kepada media.

Menurut Sulaiman, sejak perlawanan menentang Hong Kong dia terkejut melihat semangat juang pasukannya.

Dalam perlawanan menentang Singapura pula, meskipun lawan cuba bertahan, pemain-pemain Malaysia terus bekerjasama dengan baik untuk mencari gol, sekali gus meraih kemenangan yang selesa.

Mengulas mengenai perlawanan separuh akhir yang bakal menanti pasukannya, Sulaiman tidak menafikan bahawa Jepun merupakan pasukan yang beliau harapkan untuk bertemu di peringkat akhir.

“Sebenarnya saya impikan untuk bertemu Jepun di final, tetapi kita terkucil sedikit dan akan bertemu di separuh akhir, Ia akan menjadi perlawanan yang menarik kerana Jepun adalah kuasa besar dalam bola sepak.

“Saya rasa sangat teruja untuk pasukan negara berdepan mereka dan kami ada kira-kira 40 minit untuk menentukan siapa yang lebih hebat walaupun kita tahu mereka kuat, kita tak boleh mengalah,” katanya lagi.

Sulaiman juga menyuarakan keyakinannya terhadap barisan pemain yang penuh dedikasi dan berjanji akan memberikan segala yang terbaik ketika menentang Jepun.

“Saya percaya pemain saya sangat berdedikasi, dan dalam perlawanan dengan Jepun ini saya yakin mereka akan memberikan yang terbaik.Ada rezeki, Insyaallah kita ke final.”

Malaysia dijadualkan menentang Jepun pada Sabtu di Elmina Sale Gallery, Shah Alam, jam 6 petang, dalam usaha untuk merebut tiket ke final.