KAPTEN kebangsaan Malaysia 7s, Razman Roslan, tampil penuh keyakinan menjelang pertembungan menentang Jepun, juara bertahan, dalam perlawanan separuh akhir Kejohanan Asia 7 malam Sabtu.

Walaupun sedar cabaran yang menanti mereka, Razman menekankan bahawa kejayaan hanya akan datang kepada pasukan yang memberikan sepenuh komitmen di atas padang.

“Bagi saya, yang penting adalah siapa yang bekerja keras dan memberikan 100 peratus usaha di atas padang, dia yang akan berjaya. Kami akan turun beraksi seperti setiap perlawanan yang telah kami lalui sebelum ini,” ujar Razman penuh optimis.

Kejayaan skuad Malaysia melangkah ke separuh akhir tercapai selepas mereka mempamerkan permainan cemerlang dengan menewaskan Singapura 5-1 dalam aksi suku akhir. Sebelum itu, mereka membenam Hong Kong dengan kemenangan besar 9-0 dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

Gol kemenangan Harimau Malaya selepas Ameer Saidin menjaringkan gol kelima negara dalam comeback period menentang Singapura di suku akhir.

Mengulas tentang pasukan Jepun, Razman mengakui bahawa mereka adalah lawan yang hebat, apatah lagi dengan persiapan rapi serta pengalaman bermain dalam liga profesional tujuh sebelah di negara tersebut. Namun begitu, beliau tetap percaya bahawa Malaysia mempunyai peluang jika semua pemain kekal fokus dan bermain dengan semangat yang tinggi.

“Jepun memang pasukan yang sangat baik dan mereka ada persiapan yang cukup rapi, ditambah pula dengan kelebihan liga 7s yang mereka ada. Tetapi, kami juga akan berikan yang terbaik dan insyaAllah, dengan sokongan penyokong, kejayaan itu akan datang.”

Razman turut menyatakan bahawa mara ke separuh akhir ini sudah melebihi jangkaan mereka, memandangkan skuad Malaysia 7s hanya dibentuk dalam tempoh yang singkat. Latihan mereka juga terbatas, dengan hanya enam sesi dijalankan sebelum kejohanan.

“Kami tidak jangka boleh sampai ke tahap ini kerana pasukan baru sahaja dibentuk tiga minggu lalu, dan pemain-pemain pula dipanggil pada saat akhir. Jadi, mara ke separuh akhir ini adalah pencapaian terbaik setakat ini.”

Dalam pada itu, Razman melahirkan rasa teruja dengan sokongan yang diberikan oleh peminat yang hadir, walaupun perlawanan 7s masih baru di Malaysia.

Dia turut berkongsi keunikan format tujuh sebelah yang pantas dan menyeronokkan, menambah bahawa perlawanan ini memerlukan serangan yang konsisten dan tidak boleh bergantung kepada pertahanan semata-mata.

“Kita tak boleh bertahan lama dalam 7s, sebab perlawanan ini memerlukan gol. Saya harap penyokong yang hadir dapat menikmati keseronokan perlawanan ini,” katanya.

Skuad Malaysia 7s kini bersiap sedia untuk berdepan cabaran getir dalam perlawanan separuh akhir menentang Jepun yang dijadualkan berlangsung pada jam 6:00 petang Sabtu.