KAPTEN pasukan Filipina 7s, Stephan Schröck, melihat pasukan Malaysia sebagai salah satu pencabar terkuat dalam Kejohanan Bola Sepak Asia 7s yang bakal berlangsung di EV Arena Elmina pada Khamis.
Schröck mengakui kehadiran bekas pemain Liga Super Malaysia dalam skuad negara sebagai faktor utama kekuatan pasukan bimbingan Sulaiman Hussin itu.
“Pasukan Malaysia dibarisi bekas pemain Liga Super Malaysia dan mantan pemain kebangsaan yang masih berada dalam keadaan fizikal yang cemerlang serta memiliki IQ bola sepak yang sangat tinggi. Saya rasa Malaysia adalah salah satu pasukan pilihan dalam kejohanan ini,” kata Schröck.
Schröck juga melihat pertembungan dengan Malaysia sebagai peluang untuk mengumpul maklumat penting menjelang perlawanan-perlawanan seterusnya.
Menurutnya, meskipun Filipina berdepan dengan cabaran sukar, pasukan itu tetap berhasrat untuk mara ke peringkat akhir, seperti mana pasukan lain.
“Kami akan bertemu Malaysia dalam perlawanan kedua esok dan cuba untuk mendapatkan sebanyak mungkin maklumat daripada peringkat kumpulan.
“Kami berharap untuk membawa Filipina ke peringkat akhir dan bersaing sebaik mungkin,” tambah Schröck.
Bagi Schröck, kejohanan ini penuh dengan persaingan sengit dengan setiap pasukan diwakili pemain-pemain hebat dari negara masing-masing.
Namun, dia menekankan bahawa fokus Filipina tetap tertumpu untuk mara ke final, walaupun masih sukar untuk meramalkan di mana mereka akan berakhir.
“Semua negara mempunyai wakil yang kuat, jadi agak sukar untuk meramalkan di mana kita akan berada. Namun, kami akan berusaha untuk fokus kepada tempat di peringkat akhir dan berikan yang terbaik tidak kira apa pun hasilnya,” jelas Schröck.
Schröck ditemui ketika menghadiri ke sidang media Kejohanan Bola Sepak Asia 7s di Elmina Sales Gallery, pada Rabu.
Dengan Malaysia dilihat sebagai pasukan pilihan, perlawanan di antara kedua-dua negara pastinya akan menjadi tumpuan dalam kejohanan ini, terutamanya dengan Filipina yang berazam untuk mencabar pasukan gergasi di pentas Asia 7s.
Filipina akan memulakan kempen mereka dengan perlawanan menentang Malaysia pada jam 10.00 malam pada 10 Oktober.