PASUKAN Malaysia memulakan kempen kejohanan  Bola Sepak Asia 7s  dengan cemerlang apabila berjaya membelasah India 5-1 di perlawanan pembukaan yang berlangsung di EV Arena, Elmina, Shah Alam, petang Khamis.

Walaupun menghadapi cabaran pada awal permainan, pasukan negara menunjukkan kebangkitan luar biasa dan berjaya mencatat kemenangan besar.

Ketua Jurulatih Malaysia 7s, Sulaiman Hussin, mengakui pasukannya sedikit bergelut pada awal perlawanan namun memuji semangat juang pemain yang terus bertahan dan akhirnya menemui rentak permainan.

Pasukan negara memulakan kempen Asia 7s  bertemu India.

Menurutnya, gol awal hasil kesilapan pertahanan Malaysia perlu dijadikan pengajaran untuk perlawanan seterusnya.

“Pertamanya saya nak ucap tahniah kepada pemain-pemain Malaysia kerana mereka bersungguh-sungguh dalam perlawanan hari ini. Walaupun di awal permainan kita nampak kita bergelut dan gol yang kita bolos tadi adalah kesilapan yang tak patut kita lakukan.

“Ini adalah perlawanan pertama, dan kita tidak boleh ulangi kesalahan ini dalam perlawanan seterusnya. Namun, apabila kita mula mendapat rentak, kita nampak pasukan mula menguasai perlawanan, cuma kita perlu sempurnakan peluang dengan lebih awal,” jelas Sulaiman selepas perlawanan.

 

kesebelasan utama pasukan Malaysia diketuai pemain berpengalaman, Razman Roslan.

Malaysia, yang kali pertama bermain dalam format tujuh sebelah, menampilkan barisan pemain berpengalaman yang merangkumi gabungan pemain futsal dan bekas pemain kebangsaan.

Walaupun format ini baharu untuk kebanyakan pemain, pengalaman dan keserasian mereka jelas terserlah, khususnya apabila Malaysia mula mendominasi permainan selepas gol penyamaan India.

“Pertandingan ini baharu juga untuk saya dan pemain-pemain yang menyertai. Kami terpaksa mengambil pendekatan belajar undang-undang serta sejarah pertandingan tujuh sebelah ini.

“Alhamdulillah, bila saya panggil pemain, mereka menyambut panggilan dengan komitmen yang tinggi, sama seperti saya apabila dengar nak wakil Malaysia. Saya harap mereka akan terus mempamerkan peningkatan,” tambah Sulaiman.

Malaysia akan meneruskan aksi dalam kejohanan ini menentang pada jam 10:00 malam ini, seterusnya Hong Kong petang Jumaat.