GABUNGAN pemain kebangsaan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan pemain profesional terbaik negara, menjadi taruhan untuk memburu kejuaraan pertama pada Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia, yang akan berlangsung di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) bulan hadapan.

Mengikut senarai dikeluarkan BAM, Lee Zii Jia bakal mengetuai cabaran pada kejohanan yang akan berlangsung 14 hingga 19 Februari itu, yang turut menyaksikan gandingan profesional Teo Ee Yi-Ong Yew Sin, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Jin Wei (perseorangan wanita).

BAM bagaimanapun tidak menyenaraikan Ng Tze Yong, dipercayai mahu pemain itu fokus kepada saingan Seluruh England dan tempatnya digantikan Leong Jun Hao yang kini berada di ranking ke-66 dunia.

BAM menyenaraikan 16 pemain dari Akademi Badminton Malaysia (ABM) dan pemain profesional terbaik negara ketika ini untuk menggalas cabaran di Kejohanan BAdminton Berpasukan Campuran Asia, 14-19 Februari 2023.

 

Sementara bagi perseorangan wanita, BAM menamakan pemain muda di ranking ke-241 dunia, Wong Ling Ching, 20, bagi menyertai Jin Wei.

Turut tersenarai juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki), Pearly Tan-M Thinaah dan Teoh Mei Xing-Go Pei Kee (beregu wanita), dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran) dari BAM.

Berdasarkan senarai, boleh dikatakan BAM serius mahu mencabar kejuaraan pada edisi kejohanan dwi tahunan yang baru kali ketiga dianjurkan bermula 2017 dan 2019 manakala edisi 2021 dibatalkan kerana Covid19.

Pada edisi 2017 yang berlangsung di Vietnam, skuad negara tersingkir di suku akhir selepas tewas kepada China 3-0.

Lee Zii Jia tersenarai dalam skuad berpasukan campuran untuk hadapi Kejohanan Berpasukan Campuran Asia, Februari depan.

 

Manakala edisi 2019 ketika berlangsung di Hong Kong, skuad negara tewas di peringkat sama selepas disingkir Jepun juga 3-0.

Jepun muncul juara edisi pertama (2017) manakala China menjuarainya pada 2019.

Kejohanan Berpasukan Campuran Asia bakal menjadi penanda aras buat pasukan negara sebelum pemilihan pemain ke Piala Sudirman yang juga membabitkan saingan berpasukan campuran, berlangsung 14 hingga 21 Mei di Suzhou, China.

Untuk rekod, Malaysia belum pernah memenangi kedua-dua gelaran ini.

Piala Sudirman yang mula dianjurkan pada 1989, dimenangi China, 12 kali, manakala Korea Selatan memenanginya empat kali dan Indonesia hanya sekali.