GANDINGAN beregu wanita kebangsaan, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien melakar kejutan setelah menundukkan pasangan ranking ke-19 dunia dari Jerman, Linda Efler-Isabel Lohau dengan kemenangan straight set 21-17 , 21-15 dalam Kejohanan Badminton Dunia (BWF) yang dilangsungkan di Tokyo, Jepun.
Set pertama menyaksikan gandingan negara menerima cabaran sengit pasangan dari Jerman itu apabila terpaksa mengekori mata demi mata sebelum kembali fokus dan memperkemas teknik serangan.
Namun, penghujung set pertama saingan pasangan negara berjaya menemui rentak sebenar dengan meraih kemenangan 21-17.
Set kedua pasangan negara terus garang dengan pukulan smash kencang dan menampilkan pertahanan mantap sekaligus menamatkan saingan 21-15.
Sementara itu, perseorangan negara, Liew Daren terlebih dahulu terpaksa menelan kepahitan setelah ditunjuk jalan keluar seawal pusingan pertama oleh pemain no. 1 dunia, Viktor Axelsen dengan tewas straight set 16-21 12-21.
Pun begitu, pujian harus diberikan kepada Liew Daren kerana bermain mati-matian namun faktor usia dan kecergasan memaksanya akur tewas kepada Axelsen.