SKUAD badminton negara berjaya menepati ramalan ke suku akhir selepas menewaskan England 5-0 pada aksi terakhir Kumpulan C pada Kejohanan Berpasukan Campuran Remaja Dunia 2023 di Spokane, Amerika Syarikat.

Malaysia memperoleh mata pertama menerusi beregu campuran Low Han Chen-Chen Wen Tse yang menumpaskan Oliver Butler-Chloe Dennis kemenenangan straight set, 21-16, 21-17 dalam perlawanan.

Perseorangan lelaki, Eogene Ewe meneruskan rentak kecemerlangan apabila memperoleh mata kedua selepas mudah menundukkan Michael Pang 21-6, 21-9.

Disusuli perseorangan wanita, Siti Zulaikha Azmi bangkit untuk meraih mata ketiga buat Malaysia selepas mengalahkan Leona Lee pertarungan rubber set, 16-21, 21-18, 21-10.

Skuad remaja negara terus mengungguli aksi perlawanan selepas mengutip mata keempat menerusi beregu lelaki, Bryan Goonting-Aaron Tai yang menewaskan Robin Harper-Harry Wakefield 21-12, 21-10.

Beregu wanita pula telah mengesahkan Malaysia ke suku akhir apabila meraih mata kelima menerusi Ong Xin Yee-Carmen Ting yang menumpaskan Lucy Brierley-Tashvi Parab 21-11, 21-9.

Malaysia seterusnya akan berdepan dengan pemenang Kumpulan D, India pada aksi suku akhir malam ini.

Berdasarkan rekod, Malaysia gagal mara ke suku akhir Kejohanan Remaja Dunia di Santander, Sepanyol pada Oktober lalu dan hanya menamatkan saingan di tempat kesembilan dalam acara berpasukan campuran selepas menewaskan Denmark 4-1.

Kali terakhir Malaysia memenangi pingat dalam kejohanan itu ialah pada edisi 2017 di Yogyakarta, Indonesia apabila berjaya membawa pulang pingat perak bagi acara berpasukan campuran.