SKUAD remaja negara berdepan cabaran pertama di Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Santander, Sepanyol, hari ini apabila dijadual menentang Sweden dalam acara berpasukan campuran merebut Piala Suhadinata.

Tiba di Santander pada 13 Oktober lalu, skuad negara kini bersedia menghadapi cabaran daripada tiga lagi pasukan dalam kumpulan A.

Penolong Pengurus Pasukan, Joanne Quay berkata, skuad negara tiada masalah menjalani latihan dan mendapat jadual yang adil untuk menguji gelanggang pertandingan.

Malaysia berada dalam kumpulan A, Acara Berpasukan Campuran Kejohanan Remaja Dunia, merebut Piala Suhadinata.

“Semua pemain dalam mood gembira dan positif dan kita harap pemain bermain dengan baik pada perlawanan pertama,” kata Joanne, ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Skuad berada dalam kumpulan A bersama Indonesia, Latvia dan Sweden, dan akan membuka gelanggang menentang Sweden jam 1 petang (waktu tempatan) hari ini, kira-kira jam 7 petang waktu Malaysia.

Jadual perlawanan membabitkan skuad remaja negara pada acara Berpasukan Campuran, Kejohanan Remaja Dunia, di Santander, Sepanyol.

Justin Hoh, 18, mengetuai cabaran negara bersama Eogene Ewe Eon, Ariffin Nazri, Bryan Jeremy Goonting, Choi Jian Sheng, Fazriq Razif, Wong Vin Sean, Aaron Tai dan Low Han Chen.

Sementara pemain wanita terdiri daripada Siti Nurshuhaini Azman, Ong Xin Yee, Siti Zulaikha Azmi, Vannee Gobi, Chong Jie Yu, Lai Ting Cen, Carmen Ting dan Lee Xin Jie.