CYCLOCROSS atau basikal berhalangan akan bakal memahat namanya di bumi Malaysia dengan impak lebih tinggi, apabila Kejohanan Dunia Cyclocross dijangka akan dianjurkan di sini dalam tempoh lima tahun akan datang.

Penganjur Kejohanan Cyclocross Malaysia 2023, iaitu Persatuan Rakan Promosi Pelancongan Malaysia berkata, buat masa sekarang, pelbagai usaha mempromosi sukan ekstrem itu akan diperkenalkan bermula dengan kejohanan di Ipoh, Perak.

Ketua Pegawai Operasi Persatuan Rakan Promosi Pelancongan Malaysia selaku penganjur Kejohanan  Cyclocross Malaysia 2023, Mohd Amrin Zairy Adham berkata, acara cyclocross atau singkatannya CX bersiri akan dianjurkan bermula dengan  kejohanan di Kinta Riverfront, Taman Dr Seenivasagam, Ipoh, 11 dan 12 Mac ini.

“Kita akan proses permohonan ke UCI (Kesatuan Berbasikal Antarabangsa) meliputi kerangka masanya, jadi kena lihat semuanya. Jangkaan itu dalam masa tiga hingga lima tahun, bergantung kepada kelayakan untuk kita menganjurkannya.

“Ada spesifikasi untuk menganjur dan sama seperti LTdL (Le Tour de Langkawi) ketika kita bawa masuk dulu, dan ia (LTdL) sudah berkembang, jadi begitulah (untuk membawa masuk Kejohanan Dunia Cyclocross),” kata Mohd Amrin Zairy Adham.

Kejohanan Cyclocross Dunia bakal dianjurkan di Malaysia-Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Rakan Promosi Pelancongan Malaysia, Mohd Amrin Zairy Adham. -Pix Ihsan MC Boyer

Untuk rekod, Kejohanan Cyclocross Malaysia 2023 adalah yang pertama kali dianjurkan di Malaysia dan juga di rantau Asia Tenggara dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Perlumbaan cyclocross yang popular di Eropah, Amerika Syarikat dan semakin mendapat perhatian di Asia ini membabitkan gabungan tiga disiplin utama berbasikal dalam satu masa, iaitu basikal bukit, laluan jalan berturap dan merentas halangan.

“Penyertaan (siri pertama) terhad kepada peserta tempatan dan dijangkakan 1,000 penyertaan untuk peringkat awal. Alhamdulillah daripada segi penyertaan setakat ini, kita sudah menjangkau sasaran berkenaan.

“Kita nak mempromosi cyclocross sebab ia unik, dia membabitkan gabungan tiga elemen… ia sesuatu yang jarang dapat kita lihat,” kata Amrin lagi.

Selepas penganjuran di Ipoh, kejohanan akan beralih ke Selangor sebelum kemuncak saingan di Bagan Datuk yang bakal disertai peserta dari luar negara bagi menghangatkan perlumbaan.

Hadiah wang tunai keseluruhan bagi setiap siri perlumbaan berjumlah RM16,000 dan pemenang juga bakal menerima jersi bagi setiap kategori yang dipertandingkan.

Kerjasama KTMB bersama Persatuan Rakan Promosi Pelancongan Malaysia menganjurkan Kejohanan Cyclocross 2023 di Ipoh, dijangka mendekatkan lagi hubungan masyarakat dengan perkhidmatan keretapi terulung tanahair. Kata Pengurus Kanan Pemasaran, PRomosi dan Pengiklanan KTMB, Shahril Sahak. – Pix Ihsan MC Boyer

Sementara itu, penaja kejohanan, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), berbesar hati dapat berkerjasama dengan Persatuan Rakan Promosi Pelancongan Malaysia.

Pengurus Kanan Pemasaran, Promosi dan Pengiklanan KTMB, Shahril Sahak berkata, pihaknya sentiasa menyokong acara yang ada hubungkait dengan industri pelancongan.

“Sekarang Tahun Melawat Ipoh, selaras dengan Tren ETS kita popular ke Ipoh, jadi tiada alasan mengapa kita tidak bersama-sama dengan Cyclocross ini.

“Ini juga membuka peluang buat kita mempromosi perkhidmatan sewa khas coach basikal dipanggil perkhidmatan XKV. Kita akan buka booth sepanjang kejohanan Cyclocross berlangsung,” kata Shahril.